Pemimpin Islam Tertinggi Sri Lanka, Azath Salley. foto agensi

COLOMBO – Polis Sri Lanka telah menahan seorang pemimpin Islam di negaranya, Azath Salley atas tuduhan menyokong fahaman pelampau.

Penahanan itu dilakukan beberapa hari selepas beliau menggunakan undang-undang baharu untuk membanteras radikalisme.

Jurucakap polis, Ajith Rohana berkata, Azath Salley, 57, ditahan berhubung serangan nekad yang dilancarkan semasa Hari Easter pada tahun 2019 lalu yang didakwa didalangi oleh kumpulan pelampau tempatan.

“Dia ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) kerana pembabitannya dalam serangan pada 21 April 2019,” katanya merujuk kepada tragedi yang mengorbankan 279 nyawa itu.

Azath yang juga bekas gabenor Wilayah Barat, minggu lalu mencetuskan kemarahan kerajaan dengan mengatakan beliau hanya akan menghormati undang-undang syariah dan bukan undang-undang Sri Lanka.

Beliau ditahan beberapa hari selepas Colombo menggunakan Akta POTA bagi memperluaskan kuasa menahan suspek sehingga dua tahun bagi tujuan ‘fahaman radikal.’

Pada Sabtu lalu, kerajaan Sri Lanka mengumumkan akan mengharamkan pemakaian burqa dan niqab yang sebelum ini hanya diharamkan buat sementara waktu selepas serangan nekad pada tahun 2019.

Pada hari yang sama, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang memenangi pilihan raya telah berjanji membanteras fahaman pelampau serta mengumumkan rancangan untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki terlibat.

“Ia termasuk tindakan ganas berlandaskan agama atau kaum, menjejaskan keharmonian kaum atau masyarakat dan mencetuskan permusuhan antara kaum,” kata Gotabaya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mula dah agenda perburuk Islam. Buat alasan pengganas, ekstremis, pelampau.. semua modal nak cekup org Islam saja.

Comments are closed.