Rief Daniel muncul dengan single ketiga berjudul Aku Solo.

KUALA LUMPUR Aku Solo merupakan lagu terbaharu daripada  Rief Daniel atau nama sebenarnya Arief Daniel Zayadi yang berusia 24 tahun.

Dia sebelum ini pernah menghasilkan dua buah lagu balada namun lagu-lagu tersebut tidak mampu untuk membawa namanya sebaris dengan artis yang seangkatan dengannya.

Lantas, Aku Solo adalah percubaan ketiga Rief bagi menempatkan dirinya dalam bidang ini agar lebih dikenali selepas Plan E Solutions melamar Rief Daniel untuk bernaung di bawah penurusan mereka dengan harapan nasib Rief kali ini akan berubah.

Menerusi Aku Solo, Reif terus berusaha demi mencapai impian untuk menjadi artis yang berjaya walaupun Rief masih lagi menuntut di institut pengajian tinggi dengan membahagikan masa sebaiknya antara pelajaran dan kerjaya.

Aku Solo mengisahkan tentang seseorang yang tidak mempunyai teman di sampingnya dan berasa sunyi kerana tiada sokongan daripada seorang yang bergelar kekasih. Walaupun begitu, dia masih tersenyum bagi menyimpan isi hati yang terpendam.

Rief berkata, penghasilan lagu ini bermula apabila dia berkongsi hal peribadinya bersama Yonnyboii selaku penggubah lagu ini.

“Ada satu hari tu, saya pergi ke rumah Yonnyboii untuk menghasilkan sebuah lagu. Yonnyboii bertanya tentang hal peribadi saya dan saya menceritakan semuanya.

“Dia nampak apa yang saya sedang hadapi, padahal saya sendiri tidak tahu bahawa saya berasa kesunyian kerana tiada pasangan di samping saya. Saya menceritakan semua masalah saya tetapi dia hanya nampak masalah pasangan yang dihadapi oleh saya” ujar anak muda.

Rief Daniel sebelum ini pernah menghasilkan dua buah lagu balada.

Semasa proses rakaman lagu ini, Rief menyatakan dia perlu mengubah cara nyanyian mengikut rentak lagu kerana sebelum ini dia lebih ke arah rentak balada.

Namun katanya, Yonnyboii merasakan kehadiran Rief memberi impak yang positif dan kegembiraan kepadanya lalu dia menggubah lagu ini dengan genre pop.

“Alhamdulillah, selepas saya dapat rentak nyanyian dan cara saya tersendiri dalam lagu ini, saya dapati bahawa lagu ini memang kena sangat dengan diri saya dan lagu ini juga mempunyai melodi yang sangat unik yang boleh menangkap perhatian pendengar”, katanya.

Rief berharap semua pendengar merasai dan cuba untuk memahami satu per satu lirik dan melodi yang telah dihasilkan.

“Percayalah, anda akan rasa apa yang saya rasa. Saya juga berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu ini dengan baik dan dengan izin Allah, harap-harap lagu ini akan diminati ramai dan boleh memberi impak yang positif dan kuat kepada pendengar. Sama-sama kita menyuarakan apa yang kita rasa”.

Tegas Rief sambil berseloroh: “Jangan risau lagu ini hanya mengambil masa 2 minit 45 saat sahaja, saya rasa lagu ni lagu terpendek kot”?

Aku Solo kini sudah tersedia di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox dan video muzik turut  ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia. – MalaysiaGazette