Gambar hiasan

ALOR SETAR – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar Jamaludin Elias selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, anggota berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM di sini pada 11.06 pagi semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Sumber itu memaklumkan anggota tersebut dipercayai menerima suapan daripada pihak berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat mereka yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber itu berkata, penahanan anggota terbabit adalah berikutan penahanan 44 individu yang terdiri daripada 32 anggota JPJ pada operasi besar-besaran di lima negeri baru-baru ini.

Sebelum ini, seramai 11 individu ditahan di Kedah iaitu membabitkan lapan anggota JPJ, seorang anggota polis trafik dan pesara polis trafik serta orang awam.

Mereka disyaki menerima antara RM150 hingga RM3,000 sebulan sehingga nilai keseluruhan membabitkan RM1.64 juta yang dilakukan antara 2019 hingga tahun lepas.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan anggota JPJ dan tahanan reman itu. – Bernama