Banduan bebas berlesen, yang hanya dikenali sebagai Kavita, 29 dari penjara Sungai Udang, Melaka yang diterima Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) untuk Program I-Kembali ditemu ramah oleh wartawan ketika di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2021.

SEPANG – Jangan percaya sesiapa termasuk kawan dan ahli keluarga.

Itu pengalaman hidup yang dijadikan sebagai pengajaran oleh seorang bekas jururawat berusia 29 tahun yang menjadi mangsa keldai alaun.

Peristiwa hitam itu bermula apabila dia menyerahkan kad banknya kepada rakan sekerja dan tanpa disedari terlibat dengan kes penipuan.

Selepas dijatuhkan hukuman 11 bulan, wanita yang berasal dari Shah Alam itu insaf dan merancang memulakan kehidupan baharu selepas ini.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Kavitha menasihatkan golongan muda supaya jangan mudah terpedaya dengan pujukan rakan.

Ia mungkin perangkap jenayah yang boleh memusnahkan kehidupan, ujar yang memiliki ijazah kejururawatan dan pernah bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital sebelum ini.

“Malangnya gara-gara bersimpati dengan rakan setugas yang meminta kad bank aku kerana mahu mengambil wang hutang dari rakannya, saya menjadi mangsa keldai akaun yang digunakan untuk menipu wang orang awam sehingga ditahan polis dan dihukum penjara.

“Emak dan bapa saya sudah lama meninggal dunia manakala adik beradik saya semuanya berkerjaya profesional dan mereka sedar akan keadaan saya, namun saya tak mahu menjadi beban kepada mereka semula apabila bebas nanti.

“Apabila keluar nanti pada 11 Mei ini, saya mahu kembali menjalani alam kehidupan menerusi peluang kedua latihan dan kerjaya yang akan disediakan oleh I-Kembali Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak),” katanya yang merupakan Orang Bebas Berlesen (OBB) kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Banduan bebas berlesen, yang hanya dikenali sebagai Chong, 38 dari penjara Sungai Udang, Melaka yang diterima Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) untuk Program I-Kembali ditemu ramah oleh wartawan ketika di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2021.

Kavitha merayu masyarakat supaya menerimanya dan memberi peluang untuk bersama komuniti kerana merasakan dirinya dianiaya dan dihukum atas kesilapan membantu rakan sekerja.

Katanya, hukuman penjara di Sungai Udang Melaka telah memberi pengajaran yang berguna untuk mengenali rakan sebenar selain membezakan insan yang baik dan jahat.

“Saya rayu jangan anggap dan label kami sebagai penjenayah selama-lamanya, kesilapan tidak sengaja tidak seharusnya dijadikan alasan untuk sisihkan kami.

“Berilah peluang untuk kami membuktikan kami adalah insan yang layak dimaafkan dan diterima untuk bekerja dan menyumbang masyarakat,” ujarnya.

Permintaan sama dikemukakan insan yang bernama Chong, 38, yang dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan dadah.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad (kiri) memberi sedikit nasihat dan penerangan kepada sebahagian 35 orang banduan bebas berlesen dari penjara Sungai Udang, Melaka yang diterima Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) untuk Program I-Kembali ketika di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2021.

“Saya sudah empat bulan berada dalam penjara barulah berpeluang lihat dunia luar menerusi peluang kedua program I-Kembali Pergak ini.

“Saya bangga kerana Pergak percayakan saya dan mahu membawa saya kembali ke pangkal jalan dan pengkuan keluarga di Johor,” katanya,

Menurut Ong, beliau yang menanam cita-cita untuk bekerja akan membuktikan kepada masyarakat bahawa wajar dimaafkan dan diterima dan tidak dianaktirikan.

Ong mengakui apa yang dilakukannya itu salah namun peluang kedua harus diberi bagi membolehkan bekas banduan menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan masyarakat.

Sementara itu seorang wanita yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah yang dikenali sebagai Jenny mahu kembali ke pangkuan keluarganya.

Banduan Orang Bebas Berlesen (OBB), yang hanya dikenali sebagai Jenny, 32 dari penjara Sungai Udang, Melaka yang diterima Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) untuk Program I-Kembali ditemu ramah oleh wartawan ketika di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2021.

Beliau yang menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan dadah syabu dan akan dibebaskan pada April ini ingin bekerja dan mengumpul wang bagi membuktikan dia boleh berdikari sebelum bertemu keluarganya di Kota Kinabalu.

Kata ibu tunggal yang mempunyai anak berusia 20 tahun itu: “Saya kini keluar dengan parol atau bebas berlesen untuk bekerja dalam komuniti sebelum dibebaskan sepenuhnya April ini.

“Ini peluang kedua untuk saya membetulkan kesilapan lampau dan kembali semula kepada masyarakat dan anak perempuan yang sedia menerima saya semula,” kata wanita yang berusia 36 tahun ini.

Beliau berharap masyarakat tidak menyisihkan banduan dalam menagih peluang kedua untuk hidup bermasyarakat.

Menurutnya, tiada siapa yang sempurna dan setiap manusia pasti akan membuat kesilapan dalam hidup.

“Jika kami ditolak selama-lamanya siapa lagi yang akan menerima kami, peluang kedua ini akan memberi peluang kepada kami untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya mengakhiri perbualan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast