Steven Sim Chee Keong
KUALA LUMPUR – Bukan rakyat yang salah faham berhubung kompaun RM10,000 pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 tetapi Kerajaan Persekutuan.
Ini kerana rakyat mahu kompaun RM10,000 dimansuhkan sepenuhnya bukan diberi diskaun 50%.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, Kerajaan Persekutuan yang terburu-buru dalam tindakan menaikkan kompaun kepada RM10,000 tanpa sebarang garis panduan jelas dan kini keadaannya tidak bertambah baik walaupun dengan garis panduan terbaru yang dikeluarkan hampir seminggu selepas 1,331 orang telah dikenakan kompaun sebanyak itu.
Menurutnya, keputusan kerajaan untuk “menendang bola” kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) bagi rayuan kompaun RM10,000 juga satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab sama sekali.
“Pegawai-pegawai kita di PKD merupakan pekerja barisan hadapan menguruskan operasi sistem penjagaan kesihatan awam termasuk Covid-19.
“Kini, mereka terpaksa menjadi pusat memproses rayuan kompaun RM10,000 dengan pelbagai syarat, contohnya pelajar, B40, penyakit kronik dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, diskaun 50% yang dikurangkan tetap di luar kemampuan rakyat biasa.
Kerajaan tidak harus menjadikan kekayaan menteri dan orang-orang penting (VIP) sebagai tanda aras meletakkan nilai denda sedangkan golongan itu sering terlepas daripada SOP mahupun hukuman pelanggaran SOP yang dikenakan ke atas rakyat biasa.
Dakwa beliau, sebuah portal berita kesihatan awam telah melaporkan bahawa denda RM10,000 yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia merupakan 16 kali lebih tinggi daripada Australia dan jauh lebih tinggi berbanding negara-negara seperti Thailand, Arab Saudi, Singapura dan New Zealand tetapi kes Covid-19 negara ini tetap lebih banyak berbanding negara-negara tersebut dalam tempoh dua minggu ini.
Oleh itu, tegas Sim, Kerajaan Persekutuan tidak boleh melepaskan tanggungjawab kegagalannya menguruskan wabak dengan menghukum rakyat dengan undang-undang yang berat.
Strategi utama kerajaan untuk melawan Covid-19 ialah melalui pemerkasaan 3T (testing, tracing, treatment), bukan mencari kesalahan rakyat dan menghukum dengan berat. Ini termasuk merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang masih berada pada tahap yang perlahan.
Tegasnya, undang-undang biasa bertujuan menghukum kelakuan anti-sosial yang dianggap tidak normal seperti mencuri, mencabul, mencedera dan sebagainya.
”Dalam kata lain, undang-undang melarang kita daripada membuat kelakuan tidak normal tersebut.
”Undang-undang Covid-19 pula terbalik, ia bertujuan memaksa kita membuat kelakuan tidak normal seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan sebagainya. Semua kelakuan ini bukan perbuatan yang normal (justeru dipanggil norma baharu), tidak semulajadi dan bukan merupakan kebiasaan mahupun budaya normal waima setahun kita menghadapi wabak,” katanya.
Justeru, undang-undang Covid-19 harus lebih bersifat mendidik dan bukan menghukum, jauh lagi menghukum dengan sebegitu berat. – MalaysiaGazette