Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan memanjangkan isu akaun Instagram (IG) miliknya disekat penyanyi Aishah secara tidak sengaja.

Malah Siti Nurhaliza, 42, tidak tahu-menahu mengenai isu itu memandangkan dia sendiri tidak sempat untuk memegang atau memeriksa telefon bimbitnya.

“Saya sebenarnya tak nak perbesarkan isu ni. Saya pun tak tau nak cakap apa.

“Memang saya tak periksa pun (Aishah sekat) sebab ada kalanya saya sendiri tak sempat nak pegang dan periksa telefon genggam,” katanya.

Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama anaknya, Siti Aafiyah Khalid bergambar bersama produk Beaukids pada Majlis Pelancaran Beausiti X Wonderlab memperkenalkan produk Beaukids di Skyglass Designer Event Hall, Cyberjaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MAC 2021.

Pada majlis sama, Beautisiti x Wonderlab turut melancarkan produk Beaukids selain diadakan sambutan ulang tahun ketiga anak sulung Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah Khalid.

Semalam, Aishah – atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin – mengakui dia secara tidak sengaja menyekat akaun IG penyanyi Kesilapanku Keegoanmu itu gara-gara terlalu banyak pihak mengecam nyanyiannya pada program Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) tahun lalu.

Aishah dikritik kerana nyanyiannya yang dikatakan tidak disampaikan dengan baik.

Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza berkata, apa yang berlaku adalah hal di luar jangka dan beranggapan isu tersekat seseorang di Instagram adalah perkara biasa.

“Tapi biasalah… kadang-kadang kita sendiri pun pernah tidak sengaja sekat akaun Instagram orang.

“Bagi saya itu perkara biasa. Mungkin tak perasan. Tapi apa yang penting bagi saya, kita saling menghargai.

“Bila saya baca (artikel Aishah), baru saya tahu fasal isu ini. Sebelum ini, saya cari pun tak jumpa (Instagram Aishah),” katanya.

Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid dan anaknya, Siti Aafiyah Khalid pada Majlis Pelancaran Beausiti X Wonderlab memperkenalkan produk Beaukids di Skyglass Designer Event Hall, Cyberjaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MAC 2021.

Sementara itu, Aishah memetik laporan media berkata, dia menyekat akaun IG Siti Nurhaliza kerana tidak mahu memeningkan kepala selepas menerima ‘berbakul-bakul’ kecaman diterima menerusi sebuah akaun IG yang disangka akaun palsu penyanyi itu.

Namun dia hanya menyedari akaun tersebut sebenarnya adalah akaun rasmi Siti Nurhaliza selepas dimaklumkan seseorang menerusi Direct Message di IG.

Aishah, 56, berkata, dia sudah lama tidak lagi menyekat akaun Siti Nurhaliza selain berkongsi gambar hadiah pemberian ibu Siti Aafiyah itu di IG miliknya malam tadi sebagai bukti.

Pada masa sama, penyanyi Janji Manismu itu mengakui dia langsung tidak mempunyai sebarang masalah dengan Siti Nurhaliza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast