Pihak polis melakukan sisatan di tempat berlaku serangan di Mexico.Foto agensi.

MEXICO CITY – Seramai 13 pegawai polis maut diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata di tengah bandar itu semalam.

Menteri Keselamatan Mexico, Rodrigo Martinez-Celis berkata, konvoi polis itu diserang pada waktu siang ketika melakukan rondaan di kawasan Llano Grande berhampiran bandar Coatepec Harinas.

“Kesemua mangsa terdiri daripada lapan pegawai Kementerian Keselamatan Mexico dan lima pegawai pejabat pendakwaraya,” katanya menurut laporan Reuters.

Kawasan itu terletak di barat daya Mexico City dan kira-kira 40 batu di selatan bandar Toluca, ibu kota Negeri Mexico.

Mengulas lanjut, Rodrigo berkata, pihaknya akan bertindak balas terhadap serangan berkenaan.

“Oleh itu, kami akan bertindak balas dengan kekuatan dan sokongan undang-undang,” tegasnya.

Susulan kejadian, Pengawal Keselamatan Negaranya telah mengarahkan agar tentera darat dan laut serta pegawai perisik melancarkan operasi bersama untuk memburu dalang serangan terbabit.

Punca pembunuhan masih belum dikenalpasti. – MalaysiaGazette