Bomba memadam pembakaran terbuka tanda sawit lama di kawasan sempadan Kuantan, Maran dan Pekan, semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan berlaku bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Mac 2021.

Menurut Laporan Pembakaran Terbuka, sebanyak 29 kes adalah kebakaran berskala besar yang melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Menurut laporan yang dikongsikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi Twitternya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan 52 arahan di lapangan, 37 kompaun serta 62 notis arahan.

Selain itu, JAS dilaporkan telah mengeluarkan 168 surat arahan termasuk membuka 26 kertas siasatan.

Sebelum ini Tuan Ibrahim mengesahkan bahawa peningkatan kes pembakaran terbuka merupakan faktor kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan dalam negara. – MalaysiaGazette