PARIS – Ibu kota Perancis akan dikenakan sekatan pergerakan kerana bimbang gelombang ketiga penularan Covid-19.
Sebanyak 21 juta orang di 16 kawasan di Perancis akan ditempatkan di bawah langkah-langkah mulai tengah malam hari Jumaat.
Langkah-langkah ini tidak seketat seperti sekatan sebelumnya, kata Perdana Menteri Jean Castex.
Orang ramai masih dibenarkan bersenam di luar rumah.
Perancis telah mencatatkan lebih daripada 35,000 jangkitan baharu dalam 24 jam terakhir.
Castex mengatakan “gelombang ketiga” jangkitan di negara ini nampaknya semakin meningkat.
Keadaan di Paris amat membimbangkan dengan 1,200 orang dalam rawatan intensif, lebih banyak daripada waktuk kemuncak gelombang kedua pada bulan November, kata Menteri Kesihatannya, Olivier Véran.
Di bawah langkah-langkah baharu, perniagaan yang tidak penting terpaksa ditutup, tetapi sekolah dan salon dibenar dibuka jika mereka mengikuti “protokol kebersihan tertentu”.
Jurucakap kerajaan, Gabriel Attal menekankan akan ada perbezaan dengan dua penutupan sebelumnya dan mengatakan perincian lebih lanjut akan diberikan mengenai perniagaan mana yang tetap terbuka atau yang harus ditutup.
Orang akan dibenarkan bersenam di luar rumah dalam jarak 10km (6 batu) dari rumah mereka dan tidak dibenarkan merentas negara kecuali mempunyai alasan yang sah.
Mereka yang berada di kawasan yang terlibat harus mengisi borang untuk menjelaskan mengapa perlu meninggalkan rumah masing-masing. – MalaysiaGazette