Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yakin Perikatan Nasional (PN) komited dengan agenda perpaduan nasional dan kesaksamaan dalam semua perkara termasuk dalam kehidupan beragama.

Setiausaha Agung parti itu, Mak Kah Keong berkata, ia terbukti menerusi kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa tiada siapa boleh menghalang mana-mana pihak menggunakan kalimah Allah.

Tambahnya, kenyataan tersebut merupakan satu sikap yang meraikan kepelbagaian agama dan kepercayaan lain di Malaysia.

“Gerakan menghargai kenyataan tersebut yang datang daripada seorang tokoh Islam yang amat dihormati oleh kita semua, dan ianya juga akan meningkatkan semangat saling hormat menghormati dan memberi ruang kepada semua dalam memahami isu tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kata Kah Keong, kenyataan berkenaan selaras dengan prinsip Rukun Negara yang dirangka sebagai landasan untuk mencapai perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Gerakan, tambahnya, percaya bahawa Islam sebagai agama rasmi persekutuan mementingkan kesaksamaan dan menghormati kebebasan beragama, sejajar dengan peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan persekutuan.

“Sebagai anggota parti dalam PN, Gerakan akan sentiasa mempertahankan kepelbagaian kebudayaan dan agama, dan memastikan perpaduan sebagai asas kepada pembentukan agenda keMalaysiaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.