Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bentang (Op Benteng) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam operasi itu turut dirampas 10 buah kenderaan darat serta empat buah bot dan kapal.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 115 buah bot/kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

“Tujuh orang PATI turut diusir menerusi dua aktiviti pengusiran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 3,252 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 22 orang didapati positif wabak berkenaan.

Katanya, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 634,082 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 32,809 majikan.

“Sehingga kini, sebanyak 1,534 buah klinik telah terlibat dengan
program saringan ini dan seperti yang telah diumumkan, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette