Suspek, Hasbulah Ismail, 57, berjalan keluar selepas didakwa atas kes bunuh Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM di Mahkamah Kajang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 MAC 2021.

KAJANG – Rakan sekerja kepada Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Nik Khatijah Nik Mud didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Hasbullah Ismail, 57, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md. Sain kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengurus di Ikram didakwa membunuh Nik Khatijah di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, di sini, antara jam 11 malam pada 5 Mac lalu hingga jam 3 pagi pada 6 Mac lalu.

Pertuduhan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 April ini sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Halem Mohamad Husin.

Turut hadir pada prosiding itu beberapa peguam pemerhati dari Ikram.

Pada 9 Mac lalu, Nik Khatijah ditemui mati dengan kesan jerutan di leher di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, di sini.

Selang beberapa jam kemudian, polis menahan seorang lelaki di sekitar Kajang kira-kira pukul 8.45 malam pada hari kejadian untuk membantu siasatan.

Susulan kehilangan Nik Khatijah, rakan setugas telah pergi ke rumah sewa mangsa sebelum menemui mayat mangsa dengan kesan jerutan di leher dipercayai dijerut menggunakan kabel penyambung elektrik dan telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

Kereta jenis Nissan Almera warna hitam milik mangsa turut ditemui tidak jauh dari kawasan parkir di sebuah pasar raya di Jalan Reko, Kajang.

Mangsa merupakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat dengan Ibu Pejabat Ikram sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita dan kini sebagai Pengurus Jabatan Advokasi. – MalaysiaGazette