Kereta jenis Toyota Avanza remuk selepas merempuh tiang lampu isyarat dan pintu kaca sebuah bank dalam kejadian di Jalan Ipoh tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR – Remaja perempuan bersama empat lagi rakan nyaris maut selepas kereta yang dipandu hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu isyarat dan pintu kaca sebuah bank dalam kejadian di Jalan Ipoh menghala ke Sentul tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati remaja berusia 18 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Avanza itu dalam perjalanan dari pusat beli-belah Publika menuju ke rumahnya di Kondominium Kiara Mas.

“Remaja terbabit dikatakan hilang kawalan ketika melalui sebuah selekoh lalu melanggar tiang lampu isyarat berdekatan Hotel Cairnhill dan kemudiannya merempuh pintu masuk sebuah bank yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Remaja terbabit bersama empat lagi rakan lelakinya yang juga merupakan pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkefly, pemeriksaan lanjut telah dijalankan termasuk ujian pernafasan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA) bagi mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.

Bagaimanapun keputusan hasil ujian terhadap pemandu kereta terbabit adalah negatif.

Tambah Zulkefly, pihak pengurusan bank telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysia Gazette