Kaki membengkak dan kemerah-merahan antara tanda-tanda gout.

MUTAKHIR ini, kita dapat melihat trend bahawa terdapat kenaikan peratusan pesakit gout sama ada di Klinik Kerajaan mahupun swasta. Kebanyakannya, golongan lelaki dewasa yang
terlibat dan menghadapi penyakit ini. Gout merupakan salah satu daripada penyakit keradangan sendi yang biasa namun ianya adalah kompleks yang boleh menyerang sesiapa sahaja.

Penyakit ini biasanya datang dengan tanda sakit kuat yang berlaku secara tiba-tiba, bengkak, kemerahan, sakit di satu atau lebih sendi kebiasaannya di ibu jari kaki. Serangan gout ini boleh berlaku pada bila-bila masa, boleh menyebabkan seseorang itu terjaga daripada tidur dengan kesakitan seperti jari kaki terbakar.

Sendi yang terlibat biasanya akan lebih suam daripada kulit sekeliling, bengkak dan terlalu sakit sehinggakan seringan-ringan selimut pun tidak dapat dibiarkan melitupi bahagian yang terkesan. Gout terhasil apabila asid urik berkumpul di dalam sendi dan lain-lain tempat di dalam badan manusia. Asid urik merupakan salah satu daripada hasil perkumuhan  protein purine dari dalam diet seseorang.

Dalam kuantiti yang dibenarkan, asid urik merupakan komposisi biasa di dalam air kencing. Namun sekiranya berlebihan ia berupaya membentuk hablur kristal yang pada mulanya hanya beredar di dalam salur darah.

Penyakit gout yang kronik terjadi apabila kandungan asid urik terlalu tinggi di dalam darah untuk jangka masa yang lama dan berubah menjadi kristal yang terkumpul di bahagian badan
yang tertentu terutama sekali di sendi-sendi kecil. Lebih banyak kristal ini berkumpul dan sekiranya pesakit tidak mengawal pemakanan menyebabkan kandungan asid urik kekal
tinggi, lambat laun ia mungkin mengakibatkan sakit sendi yang berlarutan dan kerosakan pada sendi.

Antara tanda-tanda yang menunjukkan penyakit gout itu semakin melarat termasuklah kesakitan yang datang dengan lebih kerap dan mengambil masa lebih lama, penglibatan sendi-sendi yang lain seperti buku lali dan lutut, pembentukan ketulan di bawah
kulit yang mana kristal asid urik ini berkumpul di dalam tisu lembut membentuk ketulan yang dipanggil tophi, dan akhir sekali penglibatan buah pinggang yang berfungsi untuk menapis asid urik berlebihan dan dikeluarkan melalui air kencing.

Asid urik yang terlalu banyak akan merosakkan organ ini, sekali gus boleh menjejaskan fungsi buah pinggang, juga membentuk kristal asid urik dan batu karang di dalam buah pinggang. Beberapa faktor telah menjadi punca penyakit gout. Antaranya adalah disebabkan oleh faktor genetik.

Faktor ini memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan risiko seseorang mendapat gout. Mengikut kajian, 8-18% pesakit gout mempunyai sejarah latar belakang keluarga yang mempunyai penyakit gout. Berat badan yang berlebihan boleh meningkatkan penghasilan asid urik dalam badan dan peningkatan risiko hiperuricerimia iaitu asid urik yang tinggi dalam darah.

Penyakit gout ini juga dikenali sebagai penyakit orang kaya disebabkan faktor pemakanan yang berasaskan daging. Kebanyakan puncanya daripada pemakanan daging terutama daging merah dan makanan laut terutama yang bercangkerang yang harganya lebih mahal berbanding ikan biasa.

Faktor pengambilan minuman keras juga yang berlebihan juga mengganggu proses pembuangan asid urik. Memakan makanan yang kaya dengan purina seperti hati, makanan laut termasuklah ikan bilis, udang dan sebagainya menyebabkan gout menjadi semakin teruk kerana ia mengganggu proses pemecahan purina
dalam badan.

Antara langkah-langkah bagi mencegah peningkatan asid urik di dalam tubuh badan adalah dengan mengawal pemakanan dan memastikan hidrasi badan sentiasa di tahap optimum.
Sesetengah makanan boleh menaikkan tahap asid urik di dalam badan seperti daging, makanan laut seperti ikan sardin dan kerang, makanan yang bergula seperti minuman berkarbonat dan yis.

Mengurangkan makanan yang berlemak dan berminyak juga boleh membantu mengurangkan risiko serangan gout. Makanan seperti produk tenusu rendah lemak seperti susu rendah lemak mungkin membantu untuk mengurangkan risiko gout seperti juga
tauhu, produk berasaskan soya dan protein tumbuhan. Selain daripada itu pengambilan air yang secukupnya boleh membantu mengurangkan risiko batu karang.

Bagi mereka yang mempunyai asid urik yang tinggi, penggunaan ubat-ubatan jangka pendek seperti colchicine dan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) dapat membantu
mengurangkan kesakitan akibat serangan gout. Manakala ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan jangka panjang termasuklah allopurinol berfungsi untuk menurunkan tahap asid urik di dalam darah.

Oleh itu, amat penting bagi kita semua untuk mengawal pemakanan supaya tidak makan dan minum secara berlebihan, kerana pastinya ia bakal mendatangkan mudarat. Allah SWT telah
berfirman di dalam Surah al-A’raf ayat ke 31 yang bermaksud, “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat  (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Timbalan Pengerusi WARAK Writers Pool, Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak,
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)

&

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM
Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK),
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).