Imran Khan

ISLAMABAD – Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan disahkan dijangkiti Covid-19.

Menteri Kesihatan, Faisal Sultan yang mengesahkan perkara itu berkata, Imran, 68, sedang kuarantin di rumah.

Imran telah menerima vaksin pertama dua hari lalu.

Pakistan merekodkan 13,799 kematian dan 623,135 kes jangkitan Covid-19, menurut Universiti Johns Hopkins.

Perdana Menteri telah menghadiri pertemuan berkala, termasuk dalam sebuah persidangan keselamatan di ibu kota Islamabad yang dihadiri oleh sebilangan besar orang, lapor agensi berita Reuters.

Beliau membahas persidangan itu tanpa memakai topeng dan menghadiri perasmian projek perumahan bagi orang miskin pada hari Jumaat.

Imran menjalani ujian koronavirus setelah mengalami “sedikit batuk”, menurut salah seorang penasihat kanannya.

Beliau kini mengalami demam ringan.

Imran mendapat dos pertama vaksin Sinopharm buatan China pada hari Khamis dan ketika itu beliau dalam keadaan sihat dan mantan superstar kriket itu dalam keadaan sihat. – MalaysiaGazette