Pekerja asing yang dikumpulkan untuk pemeriksaan ketika Ops Penguatkuasaan ke-75 dibuat oleh Jabatan Imigresen di tapak binaan di sekitar Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – “Hoi jangan lari, kamu turun dari bumbung sekarang juga…kenapa degil sangat tak mahu dengar arahan imigresen?

Suasana senyi dan gelap di sebuah kawasan rumah sebelah tapak binaan pusat komersial berhampiran kawasan Tun Razak Xchange (TRX) di Jalan Imbi yang dijadikan penginapan pekerja tapak binaan tiba-tiba bertukar kecoh.

Teriakan penguatkuasa imigresen ke arah para pekerja tapak binaan yang lari bertempiaran memanjat bumbung rumah dan ada juga naik atas zink setinggi 20 meter mencemaskan keadaan di situ tengah malam tadi.

Dalam keadaan hingar-bingar itu, anggota penguatkuasa imigresen segera memanjat tembok belakang rumah itu bagi mengejar pendatang asing itu sambil menjerit ke arah mereka.

Ada juga pekerja asing yang terjun dari ketinggian 20 meter ke dalam longkang kotor berhampiran sehingga cedera teruk di kaki.

Ada pula yang menyorok di dalam air longkang busuk dengan pakaian kain pelikat sahaja.

Pekerja warga Indonesia cedera di kaki semasa cuba melarikan diri semasa Ops Penguatkuasaan ke-75 oleh Jabatan Imigresen di sekitar Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 20 MAC 2021.

Dalam keadaan gelap di belakang rumah kongsi itu, penguatkuasa imigresen berjaya mencekup beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dalam keadaan berlumuran darah di kaki kerana terjun dari bumbung rumah semasa cuba melarikan diri.

Dalam keadaan basah kuyup dengan sisa kotoran longkang berbau itu, tiga pekerja asing warga Indonesia itu berjaya ditangkap dan digari selepas aksi kejar-mengejar selama 30 minit.

Dalam serbuan sama, ada seorang wanita warga Indonesia berlakon seolah-olah kekejangan dan ‘diserang’ histeria.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam yang turut meyertai operasi itu menyediakan rawatan kecemasan kepada wanita itu sebelum menyedari wanita itu sebenarnya berlakon kononnya tidak sedar diri ‘diserang histeria’ bagi mengelak dia dicekup.

Seorang pekerja asing menunjukkan dokumen kepada penguatkuasa imigresen yang terlibat dalam Ops Penguatkuasaan di sekitar Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 20 MAC 2021.

Namun, lakonan itu gagal menyelamatkan diri daripada ditahan penguatkuasa Imigresen selepas suaminya ditegur pihak berkuasa untuk memujuk isterinya yang baring ‘kekejangan’ agar serah diri.

Mereka antara 328 warga asing yang ditahan di kawasan tapak binaan TRX dan akan dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Bukit Jalil dan diperiksa dokumen serta disaring sama ada dokumen pasport yang dimiliki mereka

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang turut menyertai operasi itu bersama Ketua Pengarah Imigresen Datuk Dzaimee Mohd Daud berkata, kesemua tahanan berusia antara 22 hingga 63 tahun.

Mereka terdiri daripada 204 orang warga Bangladesh, 108 warga Indonesia, empat warga India dan sembilan warga Myanmar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said (kanan) membuat pemeriksaan terhadap tiga pekerja asing warga Indonesia yang memanjat bumbung hingga terjun dalam longkang dan tercedera semasa Ops Penguatkuasaan ke 75 oleh Jabatan Imigresen pada tengah malam tadi di tapak binaan sekitar Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 20 MAC 2021.

Bercakap kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, beliau menjelaskan operasi penguatkuasaan ke-75 Imigresen yang menggempur tapak binaan PATI ini sekitar Jalan Imbi danĀ  sekitar TRX ini akan menentukan kesahihan pasport warga asing ini serta sahlaku Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta status majikan.

“Apabila diperiksa terdapat pelbagai rupa dan bentuk majikan yang ditunjukkan warga asing di sini. Jadi kita nak tentukan sama ada semua pekerja ini ditempatkan di luar sektor asal yang didaftarkan oleh agensi majikan mereka.

“Pemantauan juga mendapati mereka tinggal di tapak binaan dalam keadaan tidak selesa, melanggar Akta 446 Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, agensi pekerja yang diambil majikan akan dipanggil dan disiasat.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas majikan kerana kita tidak boleh membiarkan kecuaian menyalahi undang-undang seperti ini berterusan lagi,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast