Pelakon, Rozita Che Wan

KUALA LUMPUR – Selepas hampir 15 tahun berlakon, Rozita Che Wan mengakui terkilan apabila ada pengarah yang meminta sebuah produksi menggugurkan namanya hanya kerana tidak yakin dia boleh tampak ‘buruk’ sebagai pelakon.

Pelakon yang mesra disapa Che Ta itu bagaimanapun pernah tiga kali membuktikan dirinya tidak hanya bersandarkan keselesaan ingin sentiasa cantik di dalam skrin televisyen.

Ia termasuk telefilem Dosa Siapa arahan Murali Abdullah yang disiarkan sekitar tahun 2011. Malah menerusi watak Halimah dalam telefilem berkenaan, Che Ta tak kisah tidak bersolek dan menjadi pengemis.

“Watak Halimah itu juga pernah melayakkan saya menjadi calon top 5, Pelakon Drama TV Wanita, Anugerah Skrin suatu ketika dulu. Sebelum itu saya pernah berlakon sebuah telefilem dengan Fauzi Nawawi. Judulnya saya sudah tak ingat. Tapi saya dilacurkan suami dalam telefilem itu dan kemudian menghidap AIDS.

“Terbaru saya disolek buruk dan jadi tua dalam telefilem My Future Husband yang disiarkan baru baru ini di Astro Citra terbitan Zeel Production. Mira Filzah dan Amy Mastura pun turut berlakon,” katanya.

Baru genap usia 48 tahun pada 9 Mac lalu, Che Ta menafikan dia hanya menerima watak control cantik atau disolek tebal semata mata.

“Sejak mencari rezeki dalam dunia lakonan ini, saya sentiasa berfikir di luar kotak dan sanggup mencabar diri dengan apa saja watak.

“Siapa kata saya nak berlakon jadi cantik sahaja?” soalnya.

Mengenai insiden membabitkan seorang pengarah itu, Che Ta tidak mahu ambil pusing.

“Jujur saya agak terkejut apabila diberitahu seorang pengarah tak mahu saya berlakon di bawah arahannya. Mungkin selama ini, dia hanya nampak saya di Instagram barang kali. Tak apalah, saya berserah dalam soal rezeki. Kalau ada… adalah,” kata duta produk Mylea itu.

Tegas Che Ta lagi, dia perlu sentiasa cantik sebagai memenuhi keperluan kerja dan tanggungjawabnya mempromosikan sesebuah produk

Che Ta dijangka ke Perlis hujung bulan ini untuk penggambaran sebuah drama. Malah jika tiada aral melintang, dia juga akur terpaksa menjalani bulan Ramadan di sana demi melunaskan komitmen diamanahkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast