Kenderaan yang membawa individu dipercayai pegawai dan kakitangan kedutaan Korea Utara baru sahaja memasuki susulan arahan kerajaan yang memberi tempoh 48 jam kepada pihak kedutaan Korea Utara meninggalkan Malaysia di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Dua kenderaan dilihat memasuki pekarangan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara  pagi ini.

Kedua-dua kenderaan yang hanya dinaiki oleh pemandu sahaja masing-masing tiba di pekarangan Kedutaan Korea Utara kira-kira puul 7.55 pagi dan 8.10 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, salah satu kenderaan itu kereta jenis BMW berwarna hitam dan satu lagi Toyota Alphard berwarna perak di mana kedua-duanya menggunakan nombor plat kedutaan.

Petugas media tempatan mula berkumpul di perkarangan pejabat diplomatik seawal pukul 7 pagi tadi selain sebuah kereta peronda polis juga dilihat memantau perkarangan bagi memastikan prosedur operasi standard dipatuhi.

MalaysiaGazette juga dimaklumkan kesemua kakitangan pejabat kedutaan asing itu dan semua ahli keluarganya akan beredar premis itu kira-kira jam 10 pagi ini.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Chol Myung ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 susulan dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019. Permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember tahun sama dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober tahun lalu ditolak selepas mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas di bawah Akta Ekstradisi.

Korea Utara pada Jumaat lalu mengumumkan  negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke AS awal bulan ini.

Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS. – MalaysiaGazette