Salah seorang pelajar di PDSM Nurnazahiah, 21, ketika Sambutan Hari Sindrom Down di Rumah PSDM,Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID,21 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kasih ayah sepanjang hayat.

Oleh sebab kasihlah seorang warga emas, Nasaruddin Othman, 75, setiap hari mengakui bimbang mengenai seorang anaknya yang mempunyai sindrom down.

Beliau bimbang apa akan terjadi kepada anak perempuannya, Nurnazahiah, 21, selepas beliau dan isteri tiada kelak.

Walaupun mempunyai abang dan kakak, namun Nasaruddin berkata, kebimbangan terhadap ana bongsunya itu tidak pernah hilang.

Justeru, sebab itulah beliau memastikan Nurnazahiah akan dihantar ke Sekolah Vokasional di Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) setiap hari.

Nasaruddin Othman. Foto FIKRI YAZID,21 MAC 2021.

Beliau mahu melihat anak perempuannya itu boleh menjaga dirinya, meskipun tidak seperti orang normal yang lain.

“Kebimbangan memang ada kalau saya tidak ada nanti dia macam mana, sebab itu saya pastikan dia dapat pendidikan yang betul-betul khusus untuk dia di sini dan dapat bergaul dengan rakan-rakan supaya masa akan datang dia tidak kesunyian sebab dia pandai bergaul.

“Saya pun risau juga umur saya sekarang sudah lanjut, jadi saya hari-hari pastikan dia datang ke sini memahami apa sebenarnya dia kena buat rutin harian kalau kami ibu bapanya sudah tiada nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Namun, Nasaruddin bersyukur masyarakat kini tidak lagi memandang Sindrom Down sebagai golongan yang pelik sebaliknya mereka boleh bergaul dengan orang normal sekiranya mendapat sokongan dan dokongan.

Apa yang terhadap pusat khas untuk memberikan pendidikan khusus kepada golongan seperti anaknya, namun apa yang dilihat oleh Nasaruddin, anak-anak Sindrom Down perlu diberikan kasih sayang yang cukup.

“Apa yang saya lihat mereka ini keutamaan sekali adalah kasih sayang. Kalau mereka silap jangan marah pujuk mereka, mereka sebenarnya boleh melakukan pelbagai perkara, boleh bergaul namun jika yang diguna ibu bapa tepat,” tambahnya.

Terdahulu, Nasaruddin adalah salah seorang bapa yang hadir ke Persatuan Sindrom Down Malaysia hari ini untuk Sambutan Hari Sindrom Down Sedunia 2021. -MalaysiaGazette