PETALING JAYA – Pemegang sijil vaksin digital bakal dibenarkan untuk melakukan lawatan ke negara-negara anggota ASEAN.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu secara prinsipnya telah dipersetujui kerajaan-kerajaan ASEAN.
Menurutnya, beliau sendiri telah mengutarakan perkara itu dalam mesyuarat-mesyuarat menteri ekonomi ASEAN.
“Bagaimanapun, disebabkan vaksin yang diktiraf setiap negara adalah berbeza-beza, maka kementerian kesihatan negara-negara anggota perlu berbincang untuk mencapai persetujuan.
“Untuk Malaysia, kami boleh mengiktiraf vaksin yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan berjaya melepasi ujian klinikal,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.
Mengenai kebenaran pembukaan sempadan dan aktiviti rentas negeri, Mohamed Azmin berkata, keputusan itu akan dinilai dan dibuat mengikut data-data saintifik.
“Kerajaan akan membuka secara berperingkat mengikut keadaan wabak dan juga progres vaksinasi,” katanya.- MalaysiaGazette