Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – Pengusiran kesemua petugas diplomatik di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur selaras dengan Artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia hari ini mengusir semua diplomat Korea Utara selaras dengan keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Wisma Putra, Jumaat lalu.

“Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan tersebut sebagai respons terhadap keputusan unilateral dan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada Jumaat lalu.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata tindakan kerajaan itu menjadi satu keperluan dalam usaha melindungi kedaulatan dan memelihara kepentingan negara ini.

“Tindakan ini adalah peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan kehakiman kita, tidak menghormati sistem tadbir urus dan sentiasa mewujudkan ketegangan yang tidak perlu dalam mengingkari peraturan berdasarkan perintah antarabangsa,” ujarnya.

Korea Utara sebelum itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia yang terjalin sejak 1973 ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Susulan keputusan Korea Utara itu, kerajaan Malaysia menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya ditangguhkan sejak tahun 2017.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia perlu tanggung akibatnya – Kim Yu-Song