Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di SPICE Arena, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui pihaknya bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelemahan dalam menyampaikan dasar kepada masyarakat ketika menjadi kerajaan dahulu.

Namun, katanya, masalah itu tidak wujud ketika mereka bergelar pembangkang.

“Kita harus menyedari kelemahan kita terutama dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada orang ramai.

“Perkara itu tidak menjadi masalah ketika kita berada bergelar pembangkang tetapi merupakan kelemahan ketika kita berada dalam pemerintahan di Putrajaya.

“Kelemahan itu timbul apabila orang ramai menaruh harapan tinggi terhadap pimpinan kerajaan ketika itu dan segala kekurangan dalam penyampaian menjadi ancaman,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di SPICE Arena hari ini.

Konvensyen DAP negeri hari ini dihadiri kira-kira 1,632 atau 77.6 peratus daripada jumlah keseluruhan perwakilan iaitu seramai 2,103.

Dalam ucapan itu juga, Guan Eng juga menegaskan pihaknya bangga tiada ahli Parlimen DAP lompat parti setakat ini.

“Kami bangga kerana tidak seorang pun daripada 42 Ahli Parlimen DAP yang terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berpaling tadah untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional,” ujar Guan Eng. – MalaysiaGazette