penjara
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri selepas gagal menghadiri prosiding mahkamah hari ini.

Hakim Rozilah Salleh mengeluarkan arahan itu selepas tertuduh, Mohamed Al-Faizal Mohamed Ibrahim, 45, gagal berbuat demikian berhubung satu pertuduhan meminta rasuah dan pertuduhan pilihan menerima suapan.

Bagaimanapun tertuduh diwakili isterinya, Zaidah Dzimyati dan peguam, Tamil Selvan Tenappa memaklumkan mahkamah suami dan anak guamnya tidak dapat hadir ke prosiding itu kerana baru sahaja keluar wad dari KPJ Tawakal semalam.

Timbalan Pendakwaraya, Fadhli Ab Wahab dan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin memaklumkan tertuduh akan ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam, hari ini.

Hakim Rozilah juga mengarahkan tertuduh dibawa terus dari lokap SPRM ke Mahkamah Sesyen di sini esok pagi untuk meneruskan prosiding yang tertangguh hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Al-Faizal pada 22 September 2020 di sebuah restoran makanan laut di Kampung Baru Subang, Petaling meminta suapan wang berjumlah RM300,000 daripada Lim Seng Chye.

Sogokan itu sebagai dorongan untuk membantu melepaskan seramai 22 warganegara China daripada tahanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bagi pertuduhan pilihan pula, Mohamed Al-Faizal pada 22 September 2020 di sebuah restoran makanan laut di Kampung Baru Subang, Petaling secara rasuah bersetuju untuk menerima wang berjumlah RM176,000 daripada Lim Seng Chye.

Sogokan itu sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warganegara China daripada tahanan PDRM dan JIM.

Kedua-dua pertuduhan ini, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Sekysen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Hakim menetapkan 23 Mac ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kedua-dua kes di bawah Akta SPRM 2009 itu. – MalaysiaGazette