Sebuah kren jatuh di tapak pembinaan Projek Package CA3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) dan menimpa sebuah kenderaan awam yang melalui kawasan itu di Persiaran Alam Damai, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian struktur kren tumbang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, pagi tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (DOSH) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, projek pembinaan lebuh raya bertingkat itu turut diarah berhenti kerja sebelum kaedah tertentu diperoleh serta mempunyai langkah alternatif dalam memastikan penghuni sebuah apartmen berhampiran lokasi kejadian memiliki jalan untuk keluar masuk.

“Pihak pemaju dan kontraktor bahagian keselamatan mereka kena bagi cadangan apakah langkah atau tindakan kalau nak meneruskan projek ini dari sudut keselamatan yang mesti dilihat oleh mereka.

“Kalau tidak kita tidak akan benarkan apa-apa projek dijalankan melainkan kita dah auditkan sistem keselamatan yang mereka kemukakan dan akan dinilai oleh Lembaga Lebuhraya, CIDB, DOSH dan kita akan bawa bomba serta semua untuk melihat perancangan tersebut.

“Kalau nak teruskan projek ini kena mematuhi dari sudut keselamatan, itu yang kita akan laksanakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau lokasi kren tumbang di sini hari ini.

Fadillah berkata, buat masa ini pihaknya tidak dapat memastikan punca sebenar kejadian itu berlaku.

Ini kerana katanya, kejadian tersebut berlaku disebabkan pihak kontraktor melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan bukannya kerja asas struktur pembinaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah b. Haji Yusof bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Tender Projek-Projek di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 22 MAC 2021.

Ketika ditanya tindakan yang boleh diambil terhadap kontraktor memandangkan insiden seperti itu sudah dua kali berlaku melibatkan projek bekenaan, Fadillah memberitahu, kejadian pada hari ini adalah berbeza dengan yang sebelumnya, malah kontraktor juga turut berlainan.

Jelas beliau, bagi insiden terdahulu, kontraktor terbabit telah diambil tindakan dan turut dikenakan denda.

Tambahnya, kontraktor yang terlibat dengan kejadian hari ini dilihat patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama ketika kerja-kerja pemasangan rasuk dengan membuat penutupan jalan.

Terdahulu hari ini, tiga individu meninggal dunia manakala seorang lagi parah apabila struktur kren tumbang sebelum menghempap sebuah kereta Perodua Bezza di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai.

Tiga daripada mangsa merupakan pekerja pembinaan lebuh raya berkenaan manakala seorang lagi adalah orang awam yang juga pemandu kereta Bezza tersebut. – MalaysiaGazette