Sebuah kren jatuh di tapak pembinaan Projek Package CA3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) dan menimpa sebuah kenderaan awam yang melalui kawasan itu di Persiaran Alam Damai, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – MCA mahu kerajaan segera mengeluarkan arahan berhenti tugas di tapak projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susulan nahas terbaharu pada hari ini.

Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, selepas beberapa kemalangan ngeri, projek pembinaan ini mesti dihentikan selama-lamanya sehingga kontraktor membuktikan bahawa mereka mengikuti garis panduan keselamatan yang diperlukan dan menjelaskan punca kejadian ini.

”Ini bukan kali pertama kita mendengar berita buruk dari SUKE. Dalam dua tahun kebelakangan ini, kecelakaan pembinaan berlaku satu demi satu.

”Sebelumnya 3 Mac 2021, sebuah treler melanggar struktur binaan menyebabkan tiga cedera dan dua meninggal dunia setelah bahagian jejambat runtuh.

”Hari ini, salah satu daripada komponen kren terjatuh di atas kereta menyebabkan seorang cedera dan tiga maut. Ini tidak boleh diterima,” tegasnya.

Katanya, pihak berkuasa mesti menjelaskan mengapa setelah berlaku beberapa insiden di masa lalu namun masih tidak mengeluarkan perintah berhenti kerja.

”Adakah terdapat beberapa rahsia yang berlaku di sebalik tabir? Kami mendesak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat masalah ini.

“Kerajaan juga harus menghentikan projek ini sekiranya kontraktor tidak dapat memastikan mereka mematuhi garis panduan keselamatan,” tambahnya.

Menurut Mike, sudahlah projek ini menyebabkan masalah trafik, kejadian terbaharu ini pula terus meningkat kegelisahan kemungkinan kehilangan nyawa lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.