Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukan dana permulaan sebanyak RM10 juta untuk Bantuan Khas Kewangan Bagi Kesan Mudarat vaksin Covid-19.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, bantuan itu membabitkan dua kategori iaitu sebanyak RM50,000 bagi penerima mengalami kesan sampingan serius yang memerlukan rawatan jangka masa panjang di hospital.

Kedua, kerajaan memperuntuk sebanyak RM500,000 kepada penerima vaksin Covid-19 yang mengalami kesan sehingga mengakibatkan hilang upaya kekal atau kematian.

“Bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 ini adalah langkah proaktif Kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan daripada penggunaan vaksin.

“Selain itu, ia juga dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga yang berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perkembangan PICK bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang diadakan menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Jelas Adham, dana permulaan itu adalah di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dan pembayaran diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurutnya, tiga jawatankuasa khas baharu akan berfungsi untuk menilai sebarang tuntutan terhadap pengeluaran bantuan tersebut.

“Jawatankuasa pertama bagi memantau kesan mudarat susulan program imunisasi. Kedua jawatankuasa teknikal perubatan untuk menentukan sama ada kes permohonan bantuan bantuan khas kewangan mempunyai hubung kait dengan Covid-19.

“Ketiga, Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 untuk memberikan kelulusan permohonan berdasarkan keputusan dua jawatankuasa,” katanya.-MalaysiaGazette