Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bercakap pada wawancara khas mengenai pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Komitmen kerajaan Persekutuan untuk memberi kerjasama padu kepada kerajaan negeri Sabah akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negeri itu.

Menurut Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, kerajaan  Perikatan Nasional (PN) sedar jurang perbezaan dalam aspek pembangunan di Sabah berbanding negeri lain perlu ditangani.

“Kerajaan negeri kini seiring dengan Kerajaan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kerajaan negeri Sabah diterajui Ketua Menteri Sabah YB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor telah memberi harapan baru terhadap agenda pembangunan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ronald, pembentukan kerajaan negeri dibawah GRS merupakan aspirasi rakyat Sabah yang mahu melihat lebih banyak pembangunan dilaksanakan.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan yakin perancangan yang dilakarkan oleh kerajaan negeri akan dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi, seterusnya membuka peluang pekerjaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama di Kota Kinabalu, hari ini, menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang sosio ekonomi di Sabah berbanding negeri lain di negara ini dalam tempoh 10 tahun.-MalaysiaGazette