Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 151,300 individu yang pulang ke tanah air dari beberapa negara di seluruh dunia telah menjalani kuarantin wajib sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam.

Mereka telah menjalani kuarantin di stesen kuarantin yang disediakan sama ada hotel, Institut Latihan Awam dan Institusi Pengajian Swasta serta di rumah mengikut keadaan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan atau kepulangan warganegara dari luar negara sentiasa direkodkan dan semalam sahaja seramai 873 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa.

“Semuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara dan secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 151,300 individu telah pulang ke tanah air dan menjalani kuarantin masing-masing.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,104 dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai operasi pematuhan, pihak berkuasa menahan seramai 181 individu atas kesalahan ingkar SOP.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 93 dikenakan kompaun, 80 direman dan lapan lagi dijamin.

“Kali ini, kesalahan paling banyak direkodkan ialah kesalahan aktiviti di pusat hiburan seramai 106 orang, diikuti tiada penjarakan sosial 35 orang dan sebagainya,” kata beliau.

Berhubung Operasi Benteng kawalan sempadan negara, Ismail Sabri menyatakan, seramai 59 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah ditangkap dan empat bot atau kapal serta lima kenderaan darat dirampas.

Katanya, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 39 bot atau kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan seramai 2,449 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19, dengan 10 daripadanya didapati positif.

Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 640,997 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan itu yang melibatkan 33,205 majikan.

“Daripada jumlah itu, 9,960 orang disahkan positif Covid-19, manakala 631,037 lagi negatif dan sehingga kini, sebanyak 1,534 klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast