Mayat nelayan ditemui terapung di laut Tanjung Dawai sebelum diselamatkan oleh APMM Kuala Kedah.Foto Ihsan: APMM Kuala Kedah.

KUALA LUMPUR – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang di Tanjung Dawai di Sungai Petani, Kedah sejak Jumaat lalu ditemui lemas kira kira 8.5 batu nautika dari lokasi kejadian mangsa dilaporkan hilang.

Mayat mangsa ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mangsa dikenalpasti sebagai Mohd Rizal Ismail, 34, danĀ  difahamkan telah keluar bersama dua rakannya untuk menangkap ikan.

Mangsa kemudian disedari hilang ketika sedang melabuhkan pukat.

Mohd Rizal yang berasal dari Tanjung Dawai kali terakhir dilihat memakai baju berwarna putih dan berseluar pendek tanpa memakai jaket keselamatan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata, mangsa ditemui lemas pada jam sekitar 11.45 pagi tadi oleh Bot Perkasa 1224.

“Operasi CARILAMAT yang memasuki hari ketiga berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung dengan lengkap berpakaian.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada Polis Daerah Kuala Muda dan telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pencarian Ops CARILAMAT itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan beberapa bot nelayan tempatan.

Sebarang maklumat mengenai kemalangan atau kecemasan di laut boleh dihubungi melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – MalaysiaGazette