Sebuah kren jatuh di tapak pembinaan Projek Package CA3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) dan menimpa sebuah kenderaan awam yang melalui kawasan itu di Persiaran Alam Damai, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya akan dilencongkan ke laluan alternatif di Jalan Cerdas melalui Taman Connaught berikutan lokasi insiden komponen kren terjatuh di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Persiaran Alam Damai, di sini, ditutup.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, tiada kenderaan dibenarkan memasuki kawasan berkenaan sehingga kerja-kerja mengeluarkan seorang lagi mangsa kejadian selesai.

 ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon 

 

“Laluan alternatif penduduk sekitar adalah laluan Jalan Cerdas melalui Taman Connaught berhampiran bank OCBC.

“Kita lencongkan dan tidak benarkan kenderaan masuk sehingga selesai,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Mohamed Mokhsein berkata, pemandu lelaki warga tempatan yang kenderaannya dihempap struktur besi dalam insiden berkenaan telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Manakala dua lagi mayat pekerja pembinaan turut dihantar ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

“Kita buka kertas siasatan dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dan kita akan rujuk kepada pihak Kesihatan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) untuk siasatan lanjut,” katanya. – Malaysia Gazette