Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing membeli ekuiti tempatan bernilai RM425.3 juta bersih di Bursa Malaysia sehingga 19 Mac, menjadikan aliran keluar bersih asing terkumpul setakat ini pada tahun ini kepada RM1.3 bilion atau US$318.2 juta.

“Ini lebih rendah daripada beberapa pasaran di ASEAN seperti Thailand dan Filipina yang mencatatkan aliran keluar bersih asing, masing-masing sebanyak US$1.1 bilion dan US$849.6 juta, setakat ini pada 2021,” kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim.

Pada minggu ketiga Mac, katanya, pelabur asing menjual ekuiti tempatan bernilai RM101.1 juta bersih berbanding RM240.7 juta pada minggu sebelumnya.

Adam berkata, Bursa Malaysia memulakan minggu tersebut dengan sentimen positif berikutan pelabur antarabangsa menyerap RM26.0 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin.

“Sentimen serantau dibantu oleh aktiviti ekonomi China yang melonjak dalam tempoh dua bulan pertama 2021 berbanding tahun lepas, walaupun angka menunjukkan pemulihan yang tidak sekata dengan pengeluaran industri yang kukuh didorong oleh eksport tetapi perbelanjaan pengguna mencatat kemajuan yang perlahan,” katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, katanya, pelabur antarabangsa menjadi penjual bersih di bursa tempatan berikutan mereka mengeluarkan RM21.4 juta bersih menjelang mesyuarat dasar monetari utama Rizab Persekutuan (Fed) pada Rabu.

Selain itu, katanya, sentimen mengambil risiko telah terjejas oleh berita bahawa negara-negara terbesar di Eropah, termasuk Jerman dan Perancis, memutuskan untuk menangguhkan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca Plc berikutan kebimbangan mengenai kesihatan yang semakin meningkat yang telah mewujudkan satu lagi penangguhan untuk kempen vaksinasi Kesatuan Eropah.

“Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia pada Rabu dengan sejumlah RM12.8 juta bersih berikutan kaunter sarung tangan menyaksikan minat belian berikutan langkah oleh negara-negara Eropah untuk menggantung penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang telah meningkatkan prospek penggunaan sarung tangan yang lebih tinggi di rantau itu.

“Bagaimanapun, penggantungan tersebut kemudiannya ditarik balik pada akhir minggu itu berikutan kes meningkat dalam persekitaran sekatan pergerakan baharu,” katanya.

Pada Khamis, dana asing terus membeli ekuiti tempatan walaupun pada kadar yang perlahan sebanyak RM9.5 juta bersih berikutan jaminan oleh Fed untuk mengekalkan kadar faedah hampir sifar untuk tempoh yang panjang walaupun dijangka inflasi meningkat.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Fed AS mengekalkan kadar dasarnya pada paras sedia ada sebanyak 0-0.25 peratus selepas mesyuarat FOMC Mac 2021.

Ia turut meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 daripada +4.2 peratus kepada +6.5 peratus.

“Pada Jumaat lepas, pelabur asing menjual ekuiti tempatan bernilai RM128.0 juta bersih berikutan rundingan peringkat tinggi yang pertama antara AS dan China tidak berjalan lancar,” kata Adam.

Beliau berkata, kedua-dua pihak saling mengkritik antara satu sama lain mengenai hak asasi manusia, perdagangan dan pakatan antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program rangsangan tambahan bertujuan memerangi pandemik Covid-19 serta memperkasakan ekonomi dan rakyat semasa peringkat pemulihan.

Program rangsangan tambahan itu, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) berjumlah RM20 bilion dengan suntikan fiskal tambahan sebanyak RM11 bilion oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast