KETIKA perintah kawalan pergerakan dimulakan pada bulan Mac 2020, masyarakat disarankan untuk menghadkan pergerakan dan perlu berada dirumah. Banyak aktiviti luar dihentikan termasuk aktiviti ekonomi, aktiviti sukan dan bersosial. Jalan raya menjadi
lengang dan hanya dilalui oleh pekerja-pekerja sektor tertentu seperti kesihatan, keselamatan dan makanan. Seiring dengan itu kes kemalangan jalan raya juga berkurangan.
Apabila perintah kawalan pergerakan dilongarkan kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat di mana aktiviti ekonomi dibenarkan, semakin banyak kenderaan memenuhi jalanraya. Taman-taman rekreasi juga dibuka dan aktiviti bersukan telah dibenarkan. Antara sukan yang menjadi tarikan ramai adalah berbasikal. Semakin banyak dilihat di jalan-jalan raya,
penunggang basikal untuk rekreasi lengkap dengan pakaian sukan, kasut dan topi.
Namun begitu, tahukah anda bahawa penunggang basikal adalah di antara mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat kemalangan maut selain daripada penunggang motosikal atau
pejalan kaki. Walaupun dikategorikan rekreasi, apabila dilakukan di jalan raya, basikal adalah kenderaan yang perlu diperincikan ciri-ciri keselamatan untuk mengelakkan kemalangan.
Apabila kemalangan berlaku, impact of injury atau kesan kecederaan adalah elemen penting untuk dilihat untuk mengagak kecederaan yang dialami oleh mangsa. Orang yang berbasikal,
penunggang motosikal dan pejalan kaki sangat berisiko tinggi mengalami kemalangan dengan kesan kecederaan yang tinggi.
Sejauh mana kerosakan yang dialami hasil perlanggaran badan dengan objek yang bergerak atau statik. Ini ditentukan oleh
velocity, kelajuan, masa perlanggaran, arah dan kebolehan menyerap stress dari objek yang dilanggar. Badan manusia tiada break. Untuk kenderaan, kinetic energy (tenaga hasil
pergerakan) dihentikan melalui break.
Bagi manusia yang tiada break, pergerakan hanya
akan terhenti apabila melanggar sesuatu objek, iaitu apabila berlaku perlanggaran. Jika velocity tinggi dan kelajuan melebihi 10 mph, maka mangsa akan mengalami high impact
injury.
Banyak organ berisiko untuk tercedera bergantung kepada mekanisma kecederaan dan ini termasuk trauma tumpul. Kecederaan jenis ini tidak dapat dilihat dengan nyata tetapi boleh membahayakan nyawa dan menyebabkan mangsa hilang fungsi badan.
Kecederaan juga boleh dikategorikan kepada kecederaan yang membawa kematian serta merta, berisiko tinggi untuk menyebabkan kematian dan kecederaan yang menyebabkan
hilang fungsi penuh atau sebahagian. Kecederaan yang boleh menyebabkan kematian serta merta adalah yang melibatkan salur
darah utama di dalam badan seperti salur darah aorta di bahagian dada dan abdomen, kecederaan pada saraf tunjang bahagian cervical atlas (C1) yang menyebabkan nafas terhenti
serta merta, kecederaan pada otak yang sangat teruk dan apa sahaja kecederaan yang menyebabkan jantung berhenti serta merta.
Mangsa akan terus mati ditempat kejadian dan tidak dapat diselamatkan. Jenis kecederaan yang kedua adalah yang sangat berisiko tinggi untuk menyebabkan kematian jika tidak diselamatkan segera. Contoh, pendarahan dalam abdomen kerana koyak pada organ hati dan limpa, pendarahan pada bahagian dada atau bocor pada paru-paru dan menyebabkan mangsa tidak boleh bernafas atau pendarahan pada jantung dan menyebabkan jantung tidak boleh mengepam darah dan kecederaan tulang pinggul yang menyebabkan pendarahan yang teruk.
Kecederaan jenis ini ada masa yang dipanggil ‘golden hour. Jika resuksitasi dan rawatan tidak diberikan dengan segera, mangsa akan mengalami shock yang tidak boleh dikembalikan
normal semul ( Irreversible). Shock adalah keadaan aliran darah didalam badan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan daripada organ atau sel-sel dalam badan. Apabila keadaan ini berlaku, pesakit sukar untuk diselamatkan, ataupun jika selamat, akan hilang pelbagai fungsi organ.
Jika terdapat pendarahan pada otak pula, pembedahan perlu dilakukan dengan segera kerana sistem di kepala yang tertutup. Jika ada pertambahan tekanan, batang otak (brainstem) yang
salah fungsinya adalah kawalan pernafasan tertolak ke bawah (coning), pesakit tidak akan dapat diselamatkan. Selain itu pendarahan di kepala juga boleh menyebabkan kehilangan
fungsi mental dan pergerakan kaki dan tangan menyebabkan mangsa mengalami keadaan yang kita panggil ‘vegetable’ satu keadaan di mana pesakit tidak mampu bergerak, berfungsi
atau bercakap atau memahami apa-apa.
Keadaan yang sama juga boleh berlaku jika ada kecederaan saraf tunjang yang sangat berisiko dihadapi oleh penunggang basikal yang terlibat dengan kemalangan. Walaupun pesakit boleh bekomunikasi tetapi mereka hilang keupayaan untuk bergerak dan tiada lagi kawalan pembuangan najis. Bergantung pada tahap mana kecederaan saraf tunjang tersebut, kawalan pernafasan juga boleh terganggu.
Sukan dan rekreasi adalah cara hidup sihat yang sangat digalakkan. Namun perlu berhati-hati dan memastikan keselamatan diri diutamakan. Kemalangan walaupun tidak berbau adalah satu perkara yang boleh dielakkan dengan langkah-langkah pencegahan dan kesedaran. Pilih tempat yang selamat seperti taman rekreasi dan elakkan menggunakan jalanraya yang sibuk dan jalan yang sempit.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hasyr Ayat 18 bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan SuruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan
memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat
Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”
Sesungguhnya kita dipertanggungjawabkan dengan setiap perkara yang kita lakukan. Menjaga nyawa juga adalah satu perkara yang akan dipersoalkan diakhirat kelak.
Di dalam Islam, konsep memelihara nyawa juga adalah penting dalam kehidupan kita yang merupakan salah satu maqasid Syariah dalam Islam. Matlamat memelihara agama (hifz al-din) tidak akan tercapai kecuali dengan memelihara nyawa (hifz al-nafs). Oleh itu marilah kita sama sama menjadi diri dan nyawa kita dalam kehidupan harian sama ada dalam pergaulan, riadah, dan pekerjaan. Wallahualam.
Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur &
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)