Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (tiga dari kanan) bersama-sama pegawai utama UMS merakamkan gambar bersama ahli-ahli PPUMS yang hadir secara fizikal pada mesyuarat agung tahunan PPUMS.

KOTA KINABALU – Ketua Pegawai Operasi Bayu Prima Resources, anak syarikat Universiti Malaysia Sabah (UMS), No’man Ahmad dipilih untuk menerajui Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional UMS (PPUMS) bagi sesi 2021/2023.

Beliau dipilih sebagai presiden pada satu sesi pemilihan Majlis Tertinggi PPUMS yang diadakan secara dalam talian selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPUMSPP Kali Ke-15 berlangsung di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS baru-baru ini.

Dengan pemilihan tersebut, No’man menggantikan Timbalan Bendahari Kanan, Mohamad Edrus Othman yang menerajui persatuan tersebut sejak tahun 2019.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, menjadi harapan pihak pengurusan universiti agar barisan kepimpinan yang dipilih mampu memikul tanggungjawab dengan penuh amanah dan berdedikasi.

“Semoga kepimpinan baharu ini akan memberikan idea-idea baharu, disamping meneruskan aktiviti sedia ada yang bermanfaat serta dapat memberikan nilai tambah terbaik kepada semua ahli.

“Ini termasuklah kepelbagaian aktiviti yang boleh disertai oleh semua ahli dan tidak terhad kepada sebilangan individu sahaja terutamanya dalam situasi perubahan dunia kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Edrus memaklumkan PPUMS telah mengadakan pelbagai aktiviti untuk dimanfaatkan bersama semua ahli yang merangkumi aspek peningkatan profesionalisme, kemahiran, kebajikan ahli serta rekreasi serta ukhuwah dan persefahaman.

“Walaupun terpaksa mengharungi cabaran dalam melawan pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2020 dan dilanjutkan sehingga kini, PPUMS sentiasa sedaya upaya menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan melalui platform atas talian, antaranya siri PPUMS Stay at Home selari dengan situasi semasa yang dihadapi.

“Melalui program sumbangan Covid-19: PPUMS Prihatin, persatuan juga telah menghulurkan bantuan kepada ahli-ahli yang terjejas bagi meringankan beban kakitangan yang terkesan akibat pandemik ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Bendahari Kanan, Mohamad Edrus Othman.