Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 42 agensi media cetak dan elektronik telah memohon untuk membuat liputan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) setakat hari ini.

PAU 2020 akan diadakan pada 27 dan 28 Mac ini.

Bagaimanapun, tiada petugas media dibenarkan untuk berada di dalam dewan persidangan berikutan pematuhan prosedur standard operasi (SOP).

Media hanya boleh membuat liputan di Laman Media secara maya di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, pemerhati orang awam dan ahli UMNO yang bukan perwakilan juga tidak dibenar menghadiri PAU 2020 kali ini.

Malah, tidak ada gerai jualan dan trak makanan dibenarkan beroperasi.

Dalam kenyataan di sini, Ahmad berkata, PAU 2020 mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya.

Secara bersemuka di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.

Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri pada 27 Mac akan dirasmikan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO di Dewan Merdeka.

Manakala upacara menaikkan bendera akan diadakan di Plaza Merdeka dan disempurnakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO pada 28 Mac 2021.

Upacara perasmian Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 28 Mac 2021, Ahad jam 8.30 pagi di Dewan Merdeka, PWTC, yang mana acara kemuncaknya adalah ucapan dasar oleh presiden parti.

Setelah selesai perasmian Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO; Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO akan menyampaikan ucapan dasar masing-masing di dewan yang ditetapkan.

Ahmad berkata, ucapan dasar presiden, ucapan perasmian oleh timbalan presiden, ucapan dasar ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri, akan disiarkan melalui media sosial seperti FB Live/FB Watch/UMNO Online.

Ucapan perbahasan oleh wakil UMNO dari negeri-negeri akan disiarkan secara dalaman melalui aplikasi Webex. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast