Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia akan terus menjalankan operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan orang ramai dsentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan untuk melandaikan lekungan Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, SOP untuk setiap program atau majlis boleh diperolehi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“PDRM menasihatkan orang ramai untuk merujuk laman web rasmi MKN di pautan https://www.mkn.gov.my bagi mendapatkan SOP terkini mengenai penganjuran majlis sosial atau sebarang program seperti seminar, ceramah, kursus dan lain-lain dalam tempoh pandemik ini.

“Pelaksanaan SOP ini adalah berbeza mengikut status kawalan pergerakan sesuatu negeri sama ada dalam kawasan PKP Diperketatkan, PKP Bersyarat atau PKP Pemulihan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Abdul Hamid, PDRM akan memberi tumpuan kepada penjarakan fizikal serta keluasan sesuatu premis bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi SOP dan tidak melanggar peraturan tersebut.

Dalam pada itu katanya, orang ramai juga diingatkan supaya mengimbas kos QR Aplikasi MySejahtera.

“Mereka juga perlu merekodkan nama dan nombor telefon dalam buku catatan yang disediakan di setiap premis yang dikunjunginya.

“Ini bertujuan untuk memudahkan Kementerian Kesihatan mengesan pergerakan seseorang individu dan kontak rapat dengan individu lain sekiranya wujud kes positif Covid-19 di sesebuah premis.

“Manakala bagi pemeriksaan suhu pula, ianya perlu dilakukan sekali sahaja jika berada di premis atau bangunan yang sama seperti kompleks beli belah.

“Dalam perkara ini PDRM akan terus melaksanakan operasi pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan kerajaan untuk melandaikan penularan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette