KUALA LUMPUR – Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuka 289 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan Covid-19 sehingga semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari jumlah itu, sebanyak 115 kes masih dalam siasatan, 51 kes telah didakwa di mahkamah dan 12 kes lagi diberi notis amaran.
Menurut beliau, bagi kes yang telah didakwa di mahkamah, sehingga kini sebanyak 30 kes didapati bersalah, manakala 20 kes lagi dalam proses perbicaraan.
“Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga telah mengeluarkan 432 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan Covid-19.
“Sekiranya terdapat sebarang berita yang diragui kesahihannya, orang ramai boleh menyemak atau menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills, Bintulu, Sarawak.
Kata beliau, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di lokaliti itu yang dijadualkan tamat pada Khamis ini.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan sebanyak 1,407 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 85 kes telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, manakala kluster terkawal serta kes terakhir dilaporkan adalah pada 18 Mac lalu.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills mulai hari in,” katanya.
Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, seramai 38 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, dari jumlah itu, 30 individu dikenakan kompaun, lapan lagi direman.
“Kes terbanyak ialah gagal menyediakan peralatan, merekod diri dan pelanggan sebanyak 17 kes dan rentas negeri tanpa kebenaran 12 kes.
“Kes lain, tidak memakai pelitup muka tujuh orang dan masing-masing satu kes bagi kesalahan premis beroperasi lebih masa dan tiada penjarakan fizikal,” katanya. – MalaysiaGazette