Polis merampas dadah jenis heroin yang disembunyikan dalam kotak pizza.

SEBERANG PERAI – Sorok dadah dalam kotak pizza.

Itu taktik dua orang lelaki termasuk seorang remaja bawah umur yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa apabila mereka ditahan polis di Pangsapuri Ampang Jajar di sini semalam.

Kedua-dua suspek itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada jam  6.30 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di parkir motosikal pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 16 dan 20 tahun itu membawa kepada penemuan dadah jenis heroin seberat 113 gram bernilai RM1,200.

“Dadah diisi dua paket plastik lutsinar itu disembunyikan dalam satu kotak pizza dipercayai bagi mengaburi mata pihak polis.

“Hasil siastaan mendapati remaja bawah umur itu menetap di pangsapuri berkenaan manakala seorang lagi suspek menetap di George Town.

“Semakan lanjut mendapati suspek berusia 20 tahun itu positif serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Shafee, siasatan juga mendapati remaja bawah umur itu sudah tidak bersekolah manakala seorang lagi suspek merupakan penganggur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) akta yang sama. – MalaysiaGazette