Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Alasan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menyatakan Malaysia lebih selektif dalam menarik pelaburan asing yang berkualiti adalah tidak munasabah.

Ini kerana, negara-negara seperti Singapura sebagai negara pendapatan tinggi, Vietnam dan Indonesia yang merupakan negara pendapatan sederhana terus memperolehi pelaburan yang kukuh.

Pada tahun 2019, ketiga-tiga negara tersebut menerima lebih daripada 80% aliran masuk pelaburan langsung asing ke Asia Tenggara.

Malah, pada tahun lalu dengan cabaran kesihatan sedunia dan ekonomi, Singapura berjaya mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing sebanyak AS$58 bilion iaitu 23.2 kali ganda lebih banyak daripada Malaysia.

Lantaran itu, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung terkilan dengan penafian yang dibuat oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Malaysia kehilangan pelaburan asing terutamanya syarikat multinasional yang besar ke negara-negara lain di rantau ini.

Menurutnya, Laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) dengan jelas menyatakan bahawa pelaburan asing ke Malaysia telah menjunam sebanyak 68% kepada hanya AS$2.5 bilion pada tahun 2020, sekali gus menjadikan negara Malaysia mencatat prestasi terburuk di rantau Asia Tenggara.

Tambah beliau, satu tamparan lagi ke muka Azmin setelah Kerajaan Perikatan Nasional mengumunkan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia, IBM memutuskan untuk menutup Pusat Penyampaian Globalnya di Cyberjaya, Selangor pada 31 Mei ini.

Penutupan ini mungkin menyebabkan kira-kira 1,000 orang akan kehilangan pekerjaan.

Ini kerana, IBM bukannya syarikat multinasional yang pertama menghentikan pelaburan di Cyberjaya dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada November 2020, syarikat teknologi maklumat (IT) Jerman, T-Systems, menjualkan perniagaannya di Malaysia dan menyebabkan 800 pekerja kehilangan pekerjaan.

”Kenapa ketika Azmin tengah bicarakan pelaburan berkualiti, tetapi MNC yang berkualiti memilih untuk meninggalkan Malaysia?

”Lebih malang lagi sehingga ke hari ini, tiada sebarang penjelasan daripada Kerajaan Perikatan Nasional mengenai sebab atau alasan syarikat MNC meninggalkan Malaysia dan juga mengumumkan cara penyelesaian untuk mengatasi masalah ini kepada orang ramai,” katanya.

Ujar beliau, penafian Azmin dan Kerajaan Perikatan Nasional tidak akan membantu kerajaan mengakui kelemahan struktur sedia ada seperti yang telah diketengahkan oleh bank dunia baru-baru ini serta mengenalpasti peluang pertumbuhan baru untuk mendorong negara ke tahap yang berikutnya.

Sebaliknya, kenyataan yang manis tidak akan membantu kerana pelabur-pelabur akan mengundi melalui kaki mereka. – MalaysiaGazette