Jabatan Imigresen Malaysia menahan 29 pekerja warga asing dalam serbuan Ops Selera di dua buah restoran di Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang dan Presint 11, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki pekerja asing di sebuah restoran tumpuan ramai di Putrajaya bertindak agresif ketika cuba melarikan diri semasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat serbuan baru-baru ini.

Ketika cuba menggagalkan cubaan lelaki berkenaan, seorang pegawai kanan JIM cedera apabila ibu jarinya patah dan dia  dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun pekerja restoran yang cuba melarikan diri itu berjaya ditahan semula.

Lelaki berkenaan adalah antara 29 pekerja warga asing yang ditahan dalam serbuan Ops Selera di dua buah restoran di Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang dan Presint 11, Putrajaya.

Jelas Khairul, serbuan itu dilakukan selepas restoran terbabit disyaki menggajikan warga asing tanpa pas yang sah sebagai pekerja.

Warga asing yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Myanmar, 10 lelaki dan 11 perempuan warga Indonesia serta tujuh lelaki warga India.

Selain itu,m menurut beliau, tiga lelaki tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

“Operasi dijalankan ke atas premis tersebut berdasarkan aduan awam dan hasil risikan JIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua tahanan itu dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan kesemua adalah negatif virus  itu, ujarnya.

Khairul berkata, kini mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.-MalaysiaGazette