KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Februari 2021 menunjukkan peningkatan 0.1 peratus pada bulan Februari 2021 kepada 122.5 berbanding 122.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan IHP keseluruhan ini adalah didorong oleh peningkatan indeks pelbagai barangan & perkhidmatan (1.6%); makanan & minuman bukan alkohol (1.4%); minuman alkohol & tembakau (0.7%); kesihatan (0.7%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraaan isi rumah (0.3%); perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (0.1%) dan pendidikan (0.1%) yang menyumbang 50.7 peratus kepada keseluruhan wajaran.

Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 326 item menunjukkan peningkatan pada Februari 2021.

Sebaliknya, 147 item mencatatkan penurunan manakala 79 item tidak berubah.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 201 item, 79 item menurun dan 16 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama.

Walau bagaimanapun, pengangkutan menurun 2.0 peratus kepada 111.6 berbanding 113.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 14.6 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain turut menunjukkan penurunan 0.8 peratus dan diikuti oleh
pakaian & kasut (-0.4%) dan restoran & hotel (-0.3%).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Februari menurun 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan bulanan, IHP turut meningkat 0.3 peratus berbanding Januari 2021 disumbangkan oleh pengangkutan (2.3%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (0.2%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.2%).

Mohd Uzir berkata, IHP tanpa bahan api meningkat 0.4 peratus pada Februari 2021 kepada 113.6 berbanding 113.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya manakala IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Indeks teras meningkat 0.7 peratus pada Februari 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan &
perkhidmatan (1.6%); makanan & minuman bukan alkohol (1.1%), kesihatan (0.7%); pengangkutan (0.5%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.4%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraaan isi rumah (0.3%); pendidikan
(0.1%) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (0.1%).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Tujuh negeri iaitu Terengganu (0.8%), Kelantan (0.7%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.4%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (0.2%), Pulau Pinang (0.2%), Perak (0.2%) dan Pahang (0.2%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 0.1 peratus pada Februari 2021 berbanding Februari 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast