Rakyat dan askar Myanmar bertempur sejak rampasan kuasa oleh tentera sejak 1 Februari lalu. foto Agensi

MYANMAR – Seorang kanak-kanak tujuh tahun ditembak mati oleh askar Myanmar di rumahnya di Mandalay.

Mangsa merupakan mangsa termuda meninggal dunia ekoran keganasan yang melanda negara ini sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.

Kumpulan hak asasi Save the Children berkata, lebih 20 orang kanak-anak terbunuh.

Tentera berkata, seramai 164 orang telah dibunuh dalam tunjuk perasaan yang berlangsung di negara ini tetapi aktivis Assistance Association for Political Prisoners (AAPP) mendakwa jumlah kematian mencecah sekurang-kurangnya 261 orang.

Kakitangan perkhidmatan kematian Mandalay memberitahu, kanak-kanak itu meninggal dunia akibat terkena tembakan di bandar
Chan Mya Thazi.

Media Myanmar Now berkata, askar melepaskan tembakan ke arah bapanya tetapi peluru terkena mangsa yang duduk di atas pangkuan di kediaman mereka.

Kanak-kanak itu disahkan sebagai Khin Myo Chit.

Pekerja bantuan berkata, mangsa telah dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia.

Abang mangsa yang berusia 19 tahun ditahan.

Dalam satu kenyataan, Save the Children mengatakan insiden ngeri kematian gadis itu berlaku sehari selepas seorang budak lelaki berusia 14 tahun dilaporkan mati ditembak di Mandalay.

“Kematian kanak-kanak ini menyedihkan kerana mereka dilaporkan terbunuh ketika berada di rumah, yang mana mereka seharusnya selamat dari bahaya.

”Begitu banyak kanak-kanak dibunuh hampir setiap hari sekarang menunjukkan pengabaian sepenuhnya terhadap manusia nyawa oleh pasukan keselamatan,” kata kumpulan itu. – MalaysiaGazette