Pengasas Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) pada sidang media Pimpinan Penaja Parti Pejuang TanahAir (PEJUANG) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyanggah sekeras-kerasnya kenyataan Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyalahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung penyertaan Ahli-Ahli Parlimen dari UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Penaja Parti Pejuang Tanahair itu berkata, punca sebenar Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang tidak terkait dengan kes mahkamah menyertai Pakatan Harapan (PH) melalui Bersatu kerana PH menang dan berjaya menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Kita menang secara sah, tidak seperti pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memerintah secara menabur habuan tetapi menghukum jika tidak dapat apa yang dihajati demi untuk kekal berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Jerlun itu merujuk kepada laporan The Malaysian Insight pada Sabtu lalu yang berkata, bekas perdana menteri itu menggunakan kaedah sama agar Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu ketika PH menguasai Putrajaya.

Dalam laporan itu, Nik Nazmi mendakwa langkah itu dipelajari daripada tindakan Dr Mahathir menarik ahli UMNO ke dalam Bersatu untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Kata beliau, Bersatu merupakan parti Dr Mahathir pada masa itu hanya menang 13 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Mukhriz, dakwaan Nik Nazmi itu jelas beliau menuduh Dr Mahathir yang membuat keputusan secara unilateral yang mengenepikan terus kerangka PH.

“Anda (Nik Nazmi) mengatakan PH mencapai “banyak kejayaan dalam waktu yang singkat, dalam tempoh 22 bulan”, dengan berpandukan kepada aspirasi dan hala tuju yang terkandung dalam Buku Harapan.

“Yang mana satu? Adakah anda bermaksud bahawa walaupun kepimpinan Tun Mahathir dikatakan pincang, kerajaan sebelum ini berjaya melaksanakan tanggungjawabnya, dan kegagalan semuanya disebabkan oleh Tun Mahathir seorang?

“Sepatutnya pelantikan menteri-menteri yang melibatkan pemimpin-pemimpin dari puak-puak yang bertelingkah dalam PKR diselesaikan secara dalaman. Kenapa Tun Mahathir yang dipersalahkan, seolah-olah beliau memihak kepada kumpulan tertentu apabila melantik pemimpin-pemimpin kanan PKR sebagai anggota Kabinet?, soal Mukhriz.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga berkata, PKR tidak seharusnya berpura-pura bahawa pucuk pimpinannnya seorang yang ikhlas dan budiman.

Sebaliknya, Mukhriz mendedahkan, Anwar yang juga Presiden PKR pernah cuba untuk mendapatkan sokongan Pas untuk undi tidak percaya kepada Dr Mahathir ketika memegang jawatan perdana menteri.

“Parti Keadilan Rakyat tidak patut berpura-pura, kononnya pemimpin-pemimpinnya ikhlas dan budiman semasa PH berkuasa.

“Datuk Che Abdullah Mat Nawi dari Pas telah mendedahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah cuba mendapatkan sokongan Pas untuk undi tidak percaya terhadap Tun Mahathir ketika PH masih kerajaan. Itu tindakan menikam dari belakang,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut, Mukhtir turut menasihatkan Ahli Parlimen Setiawangsa itu  agar tidak menyalahkan orang lain bagi semua kegagalan PKR.

Jelasnya, Mahathir tidak langsung mendapat manfaat daripada Langkah Sheraton yang melihatkan Ahli-Ahli Parlimen yang digugurkan dari PKR serta bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Bersatu.

“Sekiranya ada unsur-unsur suapan ganjaran yang menyalahi undang-undang, malah yang tidak beretika, lebih baik bongkar siapa yang menikmatinya setelah mereka mengkhianati mandat rakyat. Yang pasti, bukan Tun Mahathir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.