Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Selangor, Datuk Abd Rahman Bakri (kiri) menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Dr Anis Mahmud (tengah) pada Majlis Penyerahan Tambahan Saham PPNS kepada Nafas di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 23 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS) menambah pelaburan saham sebanyak RM2 juta Kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Menerusi pertambahan pelaburan saham itu, ia sekaligus menjadikan PPNS sebagai pemegang saham terbesar di
dalam agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Selangor, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, pada dasarnya PPN Selangor mempunyai keahlian seramai 55,857 orang sehingga 31 Disember 2020 yang terdiri daripada 14 buah Pertubuhan Peladang Kawasan di negeri itu dengan jumlah keseluruhan saham yang dilaburkan sebanyak RM3,786,888.

Manakala, sehingga berakhir 31 Disember 2020, jumlah keseluruhan saham PPN Selangor di NAFAS adalah sebanyak RM9,911,853.50, katanya.

“Daripada jumlah pelaburan ini, dividen yang diperolehi sehingga 31 Disember 2020 adalah berjumlah M1,185,971.87 menjadikan jumlah pelaburan saham di NAFAS sehingga 31 Disember 2020 berjumlah RM11,097,825.37.

“Harapan saya, dengan penambahan saham di NAFAS ini, ia mendapat pulangan pelaburan yang kekal positif dengan memberi pulangan yang lebih tinggi dan antara impaknya ialah memberi manfaat kepada seluruh ahli-ahli kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Benih Padi Sah dan Padi Asas serta Majlis Penyerahan Tambahan Saham PPNS kepada NAFAS di sini, malam tadi.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Dr Anis Mahmud.

Menurut Abd Rahman, pihak Ahli Jawatankuasa Pengarah (AJP) Selangor berpendapat, saham itu perlu ditambah dan dijadikan jumlah paling maksimum meskipun kuota yang diberikan kepada PPN Selangor hanya 20 peratus sahaja.

Katanya, jika kuota saham yang diberikan lebih daripada itu, PPN Selangor sanggup membeli agar keuntungan yang diperoleh dirasai oleh ahli-ahli NAFAS.

Tambah beliau, dengan penambahan saham itu ia menjadikan saham PPNS kini mencecah sebanyak RM13,097,825.00 daripada keseluruhan jumlah saham di NAFAS iaitu RM65,557,824.

Abd Rahman Bakri

“Kami juga merayu agar NAFAS dapat memberikan satu kuota lagi kepada PPNS sebagai pemegang saham tertinggi
untuk dijadikan perangsang kepada PPN di tempat-tempat lain agar mereka berlumba-lumba untuk menambah saham masing-masing.

“Pemberian kuota tambahan itu adalah sebagai membalas jasa PPNS yang telah melengkapkan 20 peratus kuota yang diberikan itu.

“Matlamat kita agar saham NAFAS ini akan sentiasa bertambah lagi pada masa-masa akan datang demi kebaikan ahli-ahli NAFAS,” ujarnya.

Sementara itu, Anis dalam ucapannya berkata, pihaknya turut mengalu-alukan inisiatif daripada PPN di tempat-tempat lain untuk mereka menambahkan pelabuhan saham masing-masing.

Dr Anis Mahmud

Katanya, langkah itu penting kerana pada akhirnya NAFAS itu sendiri dimiliki oleh PPN.

“Kita juga kini sedang mencari apa lagi model selain daripada pelaburan supaya petani mendapat manfaat,” katanya. – MalaysiaGazette