Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan melawat salah satu kemudahan studio di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan program UMS fm protégé.

Ia bertujuan bagi meningkatkan pembelajaran para pelajar program komunikasi dan dalam masa yang sama menyediakan peluang kepada masyarakat untuk menggunakan kemudahan itu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, universiti itu perlu memperkukuhkan integrasi antara universiti dengan komuniti bagi manfaat bersama.

Justeru, menerusi program tersebut para pelajar bukan sahaja dilatih menjadi seorang juruhebah, tetapi turut diberi pendedahan untuk menjadi penerbit rancangan dan dalam masa terdekat turut dibuka kepada pelajar di luar program Komunikasi yang mempunyai minat untuk menjadi juruhebah radio.

“Sebagai contoh kelengkapan peralatan dan studio yang terdapat di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) mungkin boleh dimanfaatkan orang luar untuk membuat video atau rakaman, dan saya melihat kolaborasi antara fakulti dengan komuniti ini amat penting.

“Melalui perkongsian bersama komuniti luar, fakulti sebenarnya dapat menjana pendapatan sendiri yang menguntungkan universiti dan pada masa yang sama masyarakat juga akan lebih menghargai peranan dan peluang yang diberikan oleh UMS.

“Saya berharap agar UMS fm menjadi satu wadah dalam mendengar degup jantung orang muda serta menjadi satu tarikan kepada orang muda terutamanya,” katanya ketika merasmikan UMS fm Protégé. -MalaysiaGazette