Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Had statutori hutang yang melibatkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).tidak pernah berubah sejak 2009.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah hutang bagi tiga instrumen terbitan kerajaan itu pada akhir Disember 2020 adalah 58% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada akhir Februari 2021, jumlah hutang ini adalah 54% KDNK dan dijangka mencecah 58.5% pada akhir tahun ini.

“Jadi masih belum melepasi had hutang statutorI 60%,” katanya dalam Laporan Laksana ke-46.

Jelas Tengku Zafrul, instrumen hutang lain pula mempunyai had statutori masing-masing dan kesemuanya masih di bawah had Akta iaitu RM35 bilion untuk pinjaman luar negeri dan RM10 bilion untuk hutang Bil Perbendaharaan Malaysia.

Katanya, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk membantu rakyat dan perniagaan bagi menghadapi cabaran Covid-19;

”Dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu mengimbangi di antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara.

”Namun, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, maka, keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat,” ujar beliau.

Ini kerana, kerajaan telah meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan, termasuk dengan menyuntik sejumlah RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej rangsangan.

”Walaupun ia menaikkan hutang kita, namun ia masih tidak melepasi had statutori seperti yang telah dijelaskan.

”Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal dalam mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa,” tambahnya.

Menurut Tengku Zafrul, tanpa keyakinan pelabur, rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya kewujudan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Dalam laporan itu, Tengku Zafrul berkata, ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan
hutang legasi walaupun hutang itu bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini.

Akan tetapi, ia tetap hutang yang perlu diuruskan dan kesannya memang besar, ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kah kah kah..so pinjaman luar negara..dgn bon samurai, ninja, shogun segala bagai tu bukan hutangkah? ker kira derma?

Comments are closed.