Rakyat dan askar Myanmar bertempur sejak rampasan kuasa oleh tentera sejak 1 Februari lalu. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat dan Britain bersama-sama melaksanakan sekatan ke atas dua konglomerat yang dikawal oleh tentera Myanmar berikutan rampasan kuasa dan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan sejak 1 Februari lalu.

Washington menyifatkan langkah itu sebagai tindak balas terhadap “keganasan dan penyalahgunaan yang mengerikan”.

Sekatan itu mensasarkan Myanmar Economic Holdings Public Company (MEHL) dan Myanmar Economic Corporation (MEC), kata Jabatan Perbendaharaan AS dalam satu kenyataan.

Britain mengenakan sekatan serupa, juga menyebut pelanggaran hak asasi manusia tentera Myanmar terhadap Muslim Rohingya.

Perwakilan untuk kedua-dua entiti itu tidak memberi ulasan segera.

Langkah Washington membekukan aset yang dimiliki oleh entiti di AS dan merupakan yang terbhaaru dalam siri sekatan berikutan pengambilalihan tentera yang telah mensasar bank pusat Myanmar dan jeneral tertinggi.

Penetapan tersebut juga melarang syarikat atau warganegara Amerika untuk berdagang atau melakukan transaksi kewangan dengan pihak yang disenaraikan.

Oleh kerana hampir semua pembayaran dolar dilakukan melalui institusi kewangan AS, langkah itu secara efektif mengeluarkan syarikat yang disenarai hitam keluar daripada sistem perbankan Amerika.

Tindakan tersebut adalah yang paling signifikan setakat ini terhadap kepentingan perniagaan tentera Myanmar, yang menguasai banyak ekonomi Myanmar – dari bir dan rokok hingga telekomunikasi, tayar, perlombongan dan harta tanah.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, tentera Myanmar “telah mengambil tindakan yang semakin mengganggu kepada warganegara mereka sendiri sejak 1 Februari.

“Tindakan ini secara khusus akan mensasarkan mereka yang memimpin rampasan kuasa, kepentingan ekonomi tentera, dan aliran dana yang menyokong penindasan ganas tentera Burma,” katanya.

“Mereka tidak ditujukan kepada penduduk Burma.

“Dengan menunjukkan entiti ini, AS dan Britain telah menunjukkan bahawa kami akan menunaikan janji kami untuk mempromosikan akauntabiliti terhadap rampasan kuasa dan keganasan yang mengerikan dan penyalahgunaan lain yang telah kami lihat dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” kata Blinken. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast