Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Pil Captagon yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) baru-baru ini, dipercayai merupakan dadah jenis baharu yang biasa digunakan ahli militan dalam merangsang keberanian untuk melakukan kegiatan keganasan, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau yang sebelum ini bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8), Cawangan Khas Bukit Aman berkata, dadah berkenaan ‘belum ada’ di negara ini sepanjang tempoh empat tahun beliau menerajui unit berkenaan.

“Saya difahamkan memang ia dadah baharu (Captagon), pasarannya untuk Asia Barat. Di sini (Malaysia) belum digunakan…penglibatan militan-militan seperti Abu Sayyaf di selatan Filipina, memang mereka biasa ambil syabu sebelum mereka buat aktiviti keganasan. Modus operandi sama, cuma dadah jenis baharu.

“Semasa berkhidmat di unit E8, saya tidak pernah dengar lagi dadah ini tetapi saya difahamkan Captogan ini boleh merangsangkan individu yang ambil pil itu…dari tidak berani menjadi berani…ia lebih kurang syabu (kesannya),” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Selasa lepas media melaporkan kejayaan Kastam mematahkan cubaan menyeludup 94.8 juta pil Captagon bernilai RM5.2 bilion dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 Mac lepas dianggar seberat 16 tan yang disorok dalam roda troli.

— BERNAMA