KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 16 kes positif Covid-19 di dua kampung di Kota Belud, Sabah semalam.
Berikutan itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu akan dilaksanakan selama dua minggu mulai tengah malam ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM telah melakukan 89 ujian saringan di Kampung Lebak Moyoh dan mendapati sembilan daripadanya positif Covid-19.
Katanya, di Kampung Siasai Tamu pula sebanyak 77 ujian saring dilakukan, dengan tujuh daripadanya didapati positif.
“KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di dua lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua kampung ini dari 26 Mac hingga 8 April ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
Sementara itu, hari ini juga kerajaan mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah mulai esok.
Ismail Sabri berkata, sebelum ini kerajaan telah melaksanakan PKPD di kampung itu yang dijadualkan tamat esok.
Namun, sehingga kini, KKM telah melakukan 821 ujian saringan dan daripada jumlah itu 140 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
KKM katanya, telah mengesahkan kes positif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan, manakala kluster adalah terkawal dan semua kes positif telah menerima rawatan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah pada 26 Mac ini seperti dijadualkan,” katanya. – MalaysiaGazette