Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diiringi timbalannya, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani (dua kiri) melakukan gimik Pelancaran Portal dan Aplikasi MyBayar Saman di Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak perlu lagi melaporkan isu Kartel Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan beliau tidak akan memanjangkan isu kartel tersebut dan tidak berhasrat berbuat demikian.

Menurutnya, beliau kini lebih yakin situasi yang berlaku dalam PDRM itu masih dalam keadaan terkawal dan tidak kritikal sehingga memerlukan campur tangan SPRM.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini bahawa isu berkenaan terkawal dan saya sudah berbincang dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengenai perkara itu.

“Tidak perlu sampai ke situ (melaporkan kepada SPRM) kerana tindakan akan diambil menerusi JIPS,” katanya secara ringkas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Beliau terdahulu bersama timbalannya, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani melancarkan Portal dan Aplikasi Mobile MyBayar Saman bagi memudahkan pesalah trafik menjelaskan saman tanpa beratur panjang di kaunter trafik seluruh negara.

Dalam perkembangan Kartel PDRM, Abdul Hamid menghargai reaksi pantas pihak luar berhubung perkara isu berkenaan.

“Saya gembira kerana masyarakat umum memberi reaksi pantas sejurus saya mendedahkan perkara ini. Ia menunjukkan betapa pentingnya isu rasuah dan salah laku dalam kalangan pegawai polis perlu ditangani dan dibersihkan segera demi mengembalikan imej dan maruah kekal terpelihara.

“Budaya ini yang saya nak tekankan dan inilah masanya. Saya tidak malu untuk mengaku bahawa ia berlaku kerana kalau malu sampai bila pun takkan berubah,” ujarnya lagi.

Rentetan pendedahan yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini meminta Abdul Hamid untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung dakwaannya.

Kartel PDRM digambarkan Abdul Hamid sebagai gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkan beliau dari jawatan nombor satu dalam polis selain memburukkan namanya untuk kepentingan mereka.-MalaysiaGazette