Sidang Media Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai selepas sambutan Hari Peringatan Polis di IPD Sentul hari ini.

KUALA LUMPUR – Pasar Borong Kuala Lumpur dikenal pasti menjadi sarang pengedaran dan penagihan dadah bukan sahaja melibatkan warga tempatan malah warga asing.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ia dibongkar menerusi Ops Sarang di sekitar pasar borong tersebut.

Katanya operasi dilancarkan bermula 3 pagi hingga petang semalam dan seramai 58 orang termasuk 12 warga asing diperiksa.

“Seramai 46 orang suspek telah dibawa ke Balai Polis IPD Sentul untuk saringan air kencing dan 25 daripada mereka positif dadah pelbagai jenis manakala 16 suspek lagi memiliki bekalan dadah.

“Justeru pemeriksaan dan siasatan lanjut mendapati empat daripadanya merupakan pengedar dadah yang aktif di pasar tersebut selama ini dan diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952.

‘Selain 25 suspek positif dadah, polis turut menahan 12 lagi warga Indonesia dan Myanmar terlibat dadah dan turut bersalah kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Eng Lai berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Peringatan Polis Ke-214 peringkat IPD Sentul menyaksikan pegawai cemerlang dan pengamal media dihargai dengan penyampaian sijil penghargaan.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, pasukannya bakal menggempur tiga lagi sarang penagih dadah dalam masa terdekat demi menjamin sarang najis itu tidak menjejaskan komuniti Sentul.

Beliau turut menegaskan majoriti tangkapan di pasar borong itu merupakan penagih dadah kebal dan operasi akan terus dipergiatkan demi mencegah kegiatan terlarang itu.

Justeru katanya, IPD Sentul telah merekodkan kejayaan rampasan dadah yang menakjubkan dalam masa singkat iaitu suku pertama tahun ini iaitu menumpaskan dadah sebanyak 300kilogram bernilai RM3 juta berbanding rampasan berjumlah RM5 juta sepanjang tahun 2020.

Katanya, kejayaan rampasan dadah bernilai RM3 juta dalam masa singkat tiga bulan pertama sejak Januari tahun ini menyaksikan tangkapan 366 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 126 suspek adalah pembekal dadah dan 140 lagi kesalahan memiliki dadah dan lebih 97 orang positif dadah pelbagai dan lebih menarik kesemua tangkapan ini adalah berperanan sebagai agen bekalan dadah yang diperolehi dari pihak pembekal utama di Lembah Klang.

“Dadah jenis heroin base merupakan paling banyak dirampas iaitu 257 kilogram dan sebanyak 53.27 peratus telah dituduh di mahkamah dan selebihnya masih menunggu laporan patalogi untuk melengkapkan siasatan.

“Kalau kita lihat sepanjang tahun lalu hanya RM5 juta nilai rampasan dadah tetapi pada tiga bulan pertama tahun ini sahaja nilai rampasan dadah sudah RM3 juta.

“Kita tidak menolak kemungkinan krisis ekonomi dan penutupan kilang berleluasa akibat pandemik Covid-19 dan kehilangan mata pencarian memaksa orang mencari jalan muda mencari pendapatan menerusi aktiviti dadah ini,” ujarnya.-MalaysiaGazette